Nasi Kandar Saddam nafi dakwaan terima bekalan ayam daripada pembekal tular
PENGURUSAN Nasi Kandar Saddam (Mohamed Idris) mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan dakwaan yang mengaitkan restoran berkenaan dengan pembekal ayam yang sedang tular di media sosial.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, pihak pengurusan restoran popular itu menegaskan bahawa mereka tidak pernah mendapatkan bekalan ayam daripada mana-mana pembekal yang dikaitkan dengan aktiviti penyembelihan dan pemprosesan yang diragui status halal.
Isu ini mencetuskan kebimbangan orang ramai susulan penularan rakaman video yang memaparkan aktiviti penyembelihan ayam serta serbuan pihak berkuasa terhadap sebuah kilang pembekal.
Pihak pengurusan Nasi Kandar Saddam turut melahirkan rasa kesal apabila nama restoran mereka dikaitkan dengan isu tersebut sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan pelanggan.
"Untuk makluman semua pelanggan dan orang ramai, Nasi Kandar Saddam (Mohamed Idris) tidak mengambil atau mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal ayam yang sedang tular di media sosial tersebut.

"Kami juga amat kesal apabila nama Nasi Kandar Saddam (Mohamed Idris) telah dikaitkan dengan isu berkenaan sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.
"Dakwaan yang mengaitkan pihak kami dengan pembekal tersebut adalah tidak benar dan merupakan satu fitnah terhadap perniagaan kami," tulisnya.
Menurut kenyataan itu lagi, Nasi Kandar Saddam (Mohamed Idris) sentiasa mengutamakan kebersihan, keselamatan makanan dan kualiti bahan mentah bagi menjaga kepercayaan pelanggan.
Justeru orang ramai diminta supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat sebarang andaian tanpa bukti yang jelas.
MENARIK DIBACA: Sistem penyejukan puluhan pasar raya digodam! Suhu meningkat, makanan terpaksa dibuang
MENARIK DIBACA: Kecoh jualan ayam tak halal, wanita kongsi pesanan rakan pegawai Jais
Pihak pengurusan juga menyatakan kesediaan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang mengaitkan perniagaan mereka dengan pembekal terbabit.

Isu ini mula mendapat perhatian selepas rakaman video berkaitan aktiviti penyembelihan ayam tular di sebuah syarikat pembekal di Kuala Lumpur.
Susulan itu, pihak berkuasa menjalankan serbuan di sebuah gudang pemprosesan ayam di Kampung Seri Aman, Puchong pada 30 Oktober lalu dan merampas 6,555kg ayam mentah.
