Cara elak sardin dalam tin meletup ketika digoreng... Ikan lebih enak, dapur tak kotor
SARDIN dalam tin sebenarnya lebih sedap dimakan jika digoreng terlebih dahulu.
Masalahnya, semasa digoreng sardin akan meletup kerana terdapat lebihan air atau kuah pada ikan tersebut.
Akibatnya tukang goreng takut nak dekat dengan kuali dan akhirnya habis seluruh dapur jadi kotor dengan kesan percikan.
Jangan risau, sebab ada tip yang boleh anda cuba untuk elak sardin daripada meletup semasa digoreng.
Malah, masakan sardin anda akan menjadi lebih sedap. Tak percaya cubalah!

1. Goreng tanpa minyak
Pertama, keluarkan sardin dari dalam tin dan asingkan bersama kuahnya.
Panaskan kuali tanpa minyak, kemudian masukkan sardin.
Biarkan sehingga sardin kering dan sedikit garing, kemudian baru tuangkan sedikit minyak.
Hasilnya, sardin yang digoreng tidak meletup, malah anda akan mendapat tekstur sardin goreng yang garing dan sedap.
MENARIK DIBACA: Masak tak sampai 10 minit, sardin tumis daun leek sedap lain macam!
MENARIK DIBACA: Berat sama, harga beza! Rupanya ada sebab sardin tin leper lebih mahal dari jenis menegak
2. Tepung beras
Kaedah lain yang boleh dilakukan ialah dengan memasukkan satu sudu besar tepung beras dalam minyak.
Caranya, panaskan minyak dalam kuali kemudian taburkan satu sudu tepung beras ke dalam minyak panas tersebut.
Sardin tidak akan meletup semasa digoreng, malah anda akan mendapat sardin yang rangup.

3. Api sederhana
Cara lain untuk mengelak sardin meletup ketika digoreng adalah dengan menggunakan api sederhana.
Sebelum menggoreng, panaskan sedikit sahaja minyak dengan api sederhana.
Tidak perlu tunggu minyak betul-betul panas, masukkan sardin dan goreng seperti biasa.

Selain menjadikan rasa sardin lebih enak, sebenarnya banyak kelebihan lain jika sardin digoreng terlebih dahulu.
Antaranya, tekstur sardin yang bersifat lembut tidak mudah hancur. Sardin yang digoreng membuatkan isinya menjadi lebih keras tanpa menjejaskan rasanya.
Jadi ketika dimasak, sardin tidak akan hancur ketika digaul.
Selain itu, sardin goreng juga memberikan rasa yang lebih berlemak dengan aroma 'smoky', berbanding ikan yang pada asalnya direbus atau dikukus.
Sardin goreng juga boleh menyerap kuah dengan baik, sekali gus menjadikan isi ikan terasa lebih sedap kerana mudah menyerap rasa rempah ketika dimasak.
