Shell Cafe hargai bakat barista, ‘Jingle zest’ rekaan AI Syamil bawa tuah
BARISTA Shell Cafe, Muhammad Al Syamil Muhammad Nasir mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai juara sulung Shell Café Barista Cup Malaysia di Urbanscapes 2026 pada 31 Oktober lalu.
Kejayaan itu menjadi pencapaian bermakna buat Al Syamil yang telah berkecimpung dalam industri kopi selama dua tahun.
Mewakili Shell LPT R&R Paka Arah KT, dia berjaya menyaingi sembilan peserta lain menerusi pertandingan yang menguji kemahiran, kreativiti dan ketelitian dalam menghasilkan kopi berkualiti.
Kejayaan itu turut menyaksikan Muhammad Haziq Mohd Yusoff dari Shell Bukit Jalil TPM meraih tempat kedua, manakala Nurul Salfika Mohd Abijurini dari Shell NSE Tanjung Malim menduduki tempat ketiga.
Mengulas kejayaan itu, dia menyifatkan kemenangan berkenaan cukup bermakna kerana berjaya membanggakan keluarga, stesen Shell tempatnya bertugas serta seluruh pasukan Shell Café.

"Kemenangan ini amat bermakna buat saya, lebih-lebih lagi kerana saya berjaya membanggakan keluarga saya, stesen Shell tempat saya bertugas serta pasukan Shell Café saya.
"Ini kali pertama saya menyertai pertandingan barista dan saya berharap dapat terus meningkatkan kemahiran serta berusaha lebih gigih untuk pertandingan seterusnya.
"Saya mahu terus mencabar diri dan berharap dapat meraih lebih banyak kemenangan pada masa hadapan," katanya.
Pengurus Besar Shell Mobility dan Convenience Malaysia, Zairi Dzuljastri berkata penganjuran pertandingan itu mencerminkan komitmen Shell Café dalam menghargai kepakaran barista serta menyediakan peluang untuk mereka mengembangkan bakat dalam seni penyediaan kopi.
MENARIK DIBACA: Kecoh jualan ayam tak halal, wanita kongsi pesanan rakan pegawai Jais
MENARIK DIBACA: UiTM, PKPS gilap bakat keusahawanan mahasiswa menerusi Dapur Ehsan
"Apabila orang ramai memikirkan Shell Café, mereka mungkin terbayangkan secawan kopi yang dibeli dalam perjalanan ke tempat kerja atau ketika singgah sebentar di stesen kami.
"Di sebalik setiap cawan kopi ialah seorang barista yang berbangga dengan hasil kerjanya.
"Dengan usaha memperkasa potensi para barista, kami juga dapat terus meningkatkan mutu pengalaman yang kami tawarkan kepada para pelanggan setiap hari," katanya.

Bagi merangkul gelaran juara, kesemua peserta perlu mengharungi beberapa siri cabaran sebelum lima barista terbaik dipilih ke peringkat akhir.
Antara aspek yang dinilai termasuk kemahiran menyediakan espreso serta kreativiti menghasilkan minuman istimewa ciptaan sendiri.
Hasil ciptaan Al Syamil yang diberi nama ‘Jingle Zest’ berjaya membawanya meraih kemenangan apabila minuman istimewa itu dihasilkan berdasarkan inspirasinya untuk mencipta minuman yang boleh dinikmati oleh semua golongan.
Dia yang kini memegang jawatan sebagai Penyelia Barista di Shell Café memulakan kerjayanya sebagai barista junior dua tahun lalu.
Ini juga merupakan pengalaman pertamanya menyertai pertandingan berkaitan barista.
Sebagai Rakan Kopi Rasmi Urbanscapes 2026, Shell Café turut mengetengahkan kreativiti tempatan menerusi kerjasama dengan dua artis, ThatDania dan Graphnin, bagi menghasilkan empat rekaan cawan edisi terhad berinspirasikan elemen bandar.
Cawan berkenaan ditawarkan menerusi trak pop-up Shell Café sepanjang festival berlangsung, bersama pilihan kopi dan barangan eksklusif untuk pengunjung.
