UiTM, PKPS gilap bakat keusahawanan mahasiswa menerusi Dapur Ehsan
MAHASISWA Universiti Teknologi Mara (UiTM) kini berpeluang menjana pendapatan serta mendapatkan pengalaman mempelajari selok-belok pengurusan perniagaan secara praktikal menerusi pelancaran Pitstop HEP @ Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) dan Dapur Ehsan UiTM.
Inisiatif ini adalah hasil kerjasama strategik antara UiTM dengan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang dilancarkan pada Jumaat.
Program ini menggabungkan aspek kebajikan dan pembangunan keusahawanan dengan menyediakan kemudahan sokongan serta peluang pekerjaan sambilan kepada mahasiswa.

Ketua Pegawai Operasi PKPS Ehsan Marketing Sdn Bhd, Md Fazir Abdul Latif berkata kerjasama ini bertujuan menyokong inkubator keusahawanan UiTM dengan memberikan latihan kepada mahasiswa untuk menjadi usahawan, selain membantu memasarkan produk Ehsan di kampus UiTM.
"UiTM Shah Alam dipilih bagi projek perintis pertama ini berdasarkan perkembangan dan kemudahan disediakan atas persetujuan pihak universiti kepada Ehsan atau PKPS untuk memperluas pelaksanaan Dapur Ehsan ke beberapa kampus lain di luar Selangor termasuk di Negeri Sembilan dan Melaka.
"Setiap kampus mempunyai jumlah pelajar yang berbeza. UiTM Shah Alam antara kampus mempunyai bilangan pelajar ramai, sekali gus membolehkan lebih ramai mahasiswa mendapat manfaat daripada program Dapur Ehsan ini.

"Buat masa ini, produk utama disediakan ialah dalam kategori ready-to-eat dan dijangkakan sekurang-kurangnya 20 produk akan dipasarkan di UiTM," katanya kepada media di Young Engineer Creative Centre (YECC), FKA, UiTM Shah Alam.
Majlis ini disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi dan Ketua Pegawai Eksekutif Ar-Rizqi Fortune, Ariifien Ismail serta Ketua Pegawai Operasi Selagro Solutions Sdn Bhd, Pongot Sajab.
MENARIK DIBACA: Kempen Jom Beli Produk Malaysia kerjasama Jaya Grocer - KPDN
MENARIK DIBACA: Bosan pisang goreng warna keemasan? Ini cara sediakan bancuhan tepung versi biru
Dalam pada itu, Mohd Sazili berkata usaha menjaga kebajikan mahasiswa perlu melangkaui penyediaan bantuan keperluan asas dengan turut membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan potensi diri dan meningkatkan keupayaan ekonomi.
"Kesejahteraan mahasiswa bukan sekadar memastikan keperluan asas mereka terbela tetapi turut membuka peluang menjana pendapatan, membina kemahiran dan membentuk jiwa keusahawanan agar mereka mampu berdikari sejak di bangku universiti," katanya.
Dapur Ehsan UiTM turut menampilkan pelbagai produk makanan termasuk makanan sedia dimakan (RTE) seperti nasi goreng, pasta, nasi berlauk dan oden.

Turut disediakan ialah pelbagai produk minuman (RTD) seperti Choc Milk, Vooze Original dan Vooze Blackcurrent.
Selain itu, beberapa produk baharu turut dalam pembangunan antaranya daging masak hitam, dendeng balado serta salted egg chicken with rice keluaran Ehsan.
Manakala, pitstop HEP merupakan inisiatif Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UiTM yang menyediakan ruang rehat, kemudahan sokongan serta makanan dan minuman ringan secara percuma bagi membantu mahasiswa khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan.
Fungsi Pitstop HEP kini diperluas dengan penglibatan mahasiswa dalam aktiviti keusahawanan dan peluang pekerjaan sambilan.
Usaha ini selaras dengan aspirasi MySISWA Job on Campus (MySISWA@JoC) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), yang menggalakkan mahasiswa menjana pendapatan sambil belajar di samping meningkatkan kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan.