PM Thailand promosi kopi ais 'oliang', sekali cuba mungkin terus lupa Americano
SEBUT sahaja kopi hitam sejuk, ramai mungkin terus teringat minuman Americano ais yang terkenal dengan rasa pahit bersama aromanya tersendiri.
Bagaimanapun, bagi masyarakat Thailand mereka mempunyai kopi hitam ais tradisional sendiri dikenali sebagai 'oliang'.
Kopi itu sempat dipromosikan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menerusi acara CNN Global Perspectives di Bangkok pada 14 Oktober lalu.

Menurutnya, orang ramai yang mencuba 'oliang' buat pertama kali pasti sukar untuk melupakan keenakan kopi tersebut.
"Saya sarankan anda mencuba kopi hitam ais khas Thailand. Namanya 'oliang'. Bila anda mencubanya, mungkin akan terlupa kopi ais Americano untuk selama-lamanya," katanya.
'Oliang' merupakan minuman kopi ais tradisional Thailand, biasanya menggunakan kopi Robusta yang disangai pada suhu tinggi.
MENARIK DIBACA: Ramai terhibur lihat lelaki 'angkuh' minum Americano tanpa gula, rasa diri cukup matang
MENARIK DIBACA: Ibu hamil makan anggur hitam bantu cegah jaundis bayi, ini fakta anda perlu tahu
Menariknya, kopi ini turut dicampur dengan gula perang serta bahan lain seperti jagung, kacang soya dan bijan, bergantung pada resipi yang digunakan oleh setiap penjual.
Dari segi penyediaan, kopi 'oliang' dibancuh menggunakan kaedah tradisional dan ditapis dengan kain penapis khas sebelum dihidangkan bersama ais batu.
Gula juga boleh ditambah mengikut cita rasa masing-masing bagi menghasilkan minuman yang lebih manis.

Dari segi nama pula, perkataan 'oliang' dipercayai berasal daripada bahasa Teochew yang digunakan dalam komuniti Cina di Thailand.
Perkataan 'o' membawa maksud hitam, manakala 'liang' bermaksud sejuk, selari dengan penampilan minuman tersebut yang berwarna gelap dan dihidangkan bersama ais.
Kopi itu dipercayai diperkenalkan oleh pendatang dari China yang menetap di Thailand sebelum berkembang menjadi sebahagian daripada budaya tempatan.