Rupanya daun kari ada 3 jenis... Setiap satu hasilkan rasa, aroma masakan berbeza
RAMAI dalam kalangan kita tahu bentuk dan kegunaan daun kari, tetapi mungkin ramai tidak tahu ia sebenarnya memiliki bau dan rasa berbeza bergantung pada jenis.
Walaupun setiap jenis daun kari mempunyai bentuk yang kelihatan hampir sama, penggunaannya dalam masakan akan memberikan hasil berbeza.
Perkara ini terbongkar selepas seorang pengguna di Threads bertanyakan tentang punca masakannya yang menggunakan daun kari menghasilkan rasa berbeza-beza dan tidak konsisten.

"Indian semua, tolong tanya mak korang.
"Daun kari ada banyak jenis ke? Kadang bau kuat, kadang macam tak ada bau sangat.
"Tak tahulah kari saya hari ini," ujarnya.
Persoalan tersebut dijawab oleh seorang pengguna Threads yang mendedahkan sebenarnya terdapat beberapa jenis daun kari yang memiliki rasa berbeza, walaupun bentuknya kelihatan hampir sama.
Menurut pengguna itu lagi, cara menyimpan daun kari juga memainkan peranan sehingga boleh mempengaruhi rasa masakan.

"Daun kari memang ada beberapa jenis dan cara simpan atau masak pun main peranan.
"Kalau akak guna daun kari liar, memang bau herbanya tajam.
"Manakala daun kari yang dijual di pasar raya, daunnya lebar dan cantik berkilat. Baunya kurang sikit.
"Tapi kalau daun kari India atau disebut 'suvashini', baunya memang tajam, tapi bila kunyah, rasanya manis sedikit. Uratnya berwarna merah," jelasnya.
MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!
MENARIK DIBACA: Sedapnya kari kepala ikan merah 'homemade', makan seorang pun boleh habis
Merujuk pada gambar yang dikongsi, memang terdapat perbezaan dari segi bentuk dan saiz ketiga-tiga jenis daun kari.
Daun kari India yang dikatakan paling wangi memiliki saiz daun paling kecil berbanding dua jenis daun kari yang lain.
Malah, tangkainya juga berwarna merah kecoklatan.
Perkongsian tersebut memberi pengetahuan kepada orang lain yang kebanyakannya juga baru mengetahui bahawa terdapat pelbagai jenis daun kari.

"Baru pertama kali tahu ada macam-macam jenis daun kari rupanya.
"Rupanya ada banyak jenis daun kari ya. Kalau saya memang semua saya anggap sama.
"Selama 43 tahun saya hidup, baru saya tahu ada pelbagai jenis daun kari. Patutlah masakan saya ada wangi, ada tidak," antara komen netizen.
Selain berfungsi sebagai pewangi dalam masakan, daun kari juga memiliki banyak manfaat untuk kesihatan tubuh.
Tumbuhan yang berasal dari India dan Sri Lanka ini mempunyai pelbagai khasiat seperti antioksidan selain mampu mengawal bacaan gula dalam darah.