Bau kuat, tapi ramai suka! Ini 5 fakta menarik ulam buah kerdas
BAUNYA kuat seakan-akan jering, tapi sifat itu tidak menjadi halangan bagi penggemarnya untuk menikmati buah kerdas atau genuak mengikut cara masing-masing.
Buah dengan bentuk seperti kekacang ini cukup sinonim dengan masyarakat kampung untuk dimakan mentah sebagai ulam dan dicecah bersama sambal belacan atau budu.
Tekstur rangup dengan gabungan rasa pahit dan manis menjadikan kerdas antara ulam tradisional yang mempunyai peminat tersendiri.
Dikenali juga dengan nama kenuak, buah dari pokok Archidendron bubalinum ini mempunyai beberapa fakta menarik, termasuk habitatnya yang tumbuh liar serta penggunaannya dalam amalan perubatan tradisional.
Jom ketahui lima fakta menarik tentang buah kerdas yang mungkin ramai belum tahu!

1. Berbau sangat kuat
Buah kerdas mempunyai bau yang sangat kuat dan menyengat, hampir menyerupai bau jering.
Bau ini berpunca daripada sebatian sulfur yang terkandung dalam bijinya.
Ramai menggemari aroma ini, tetapi ada juga yang mengelaknya kerana bau terlalu kuat.
2. Dimakan sebagai ulam
Buah Kerdas lazimnya dimakan mentah sebagai ulam dan dicecah dengan sambal belacan, budu atau dimasak dalam masakan tradisional.
Antara menu masakan menggunakan kerdas seperti sambal tumis dan masak lemak.
Walaupun baunya agak kuat, namun penggemar kerdas beranggapan ulaman itu memberikan rasa yang rangup, pahit manis dan berbau khas.
MENARIK DIBACA: Mantap cendawan goreng petai, aromanya buat perut kenyang jadi lapar
MENARIK DIBACA: Cara simpan beras 'kecemasan' tahan sampai 4 tahun! Tak payah letak cengkih, cili kering

3. Pokok kerdas tumbuh liar
Pokoknya tumbuh secara liar di hutan atau kawasan kampung.
Kerdas hanya ditemui di kawasan di Asia Tenggara terutamanya di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
4. Mempunyai nilai perubatan tradisional
Dalam perubatan tradisional, buah kerdas dipercayai boleh membantu melancarkan sistem penghadaman dan juga digunakan untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan masalah cacing.
Kajian mendapati, pengambilan ulam ini secara minimum membantu melancarkan pembuangan air kecil dan sistem perkumuhan.
Pada masa sama, kerdas turut dipercayai membantu membersihkan buah pinggang dan menyingkirkan toksin daripada badan.

5. Dijadikan jeruk
Sama seperti petai, biji kerdas juga boleh direbus seketika dengan sedikit garam, kemudian disimpan di dalam air garam atau dibuat jeruk.
Cara ini membuatkan ulam kerdas tahan berbulan-bulan dan memberikan variasi rasa yang unik.
