Agar-agar buah naga penyegar tekak ketika cuaca panas
CUACA panas sejak kebelakangan ini memang nikmat kalau dapat menjamah agar-agar buah yang sejuk dan lembut dari peti ais.
Lagi-lagi kalau guna buah naga – dengan warna merah jambu pekat bukan sahaja tarik perhatian tetapi membangkitkan selera.
Selain kaya dengan antioksidan, buah naga juga membantu menyejukkan badan dan melancarkan pencernaan.
Digabungkan pula dengan susu cair, menjadikan pencuci mulut ini penyegar tekak terbaik untuk dinikmati seisi keluarga.
Mari Kuali kongsi resipi agar-agar buah naga mudah yang boleh dihasilkan di rumah:-

Bahan-bahan
- 10 gram serbuk agar-agar
- ½ cawan gula (boleh ubah ikut citarasa manis)
- 1 cawan susu cair
- 3 cawan air
- 1½ biji buah naga (dipotong dadu kecil)
MENARIK DIBACA: Candy pineapple macam tanghulu tapi guna buah-buahan tempatan
MENARIK DIBACA: Sambal tempoyak ayam masakan paling ‘malas’ tapi buat bertambah nasi
Cara penyediaan
- Tuangkan air ke dalam periuk, masukkan serbuk agar-agar dan kacau dengan api sederhana sehingga larut sepenuhnya.
- Tambahkan susu cair dan gula sedikit demi sedikit. Kacau hingga gula larut dan rasa manis sekata mengikut citarasa.
- Akhir sekali, masukkan potongan buah naga ke dalam campuran agar-agar. Tak perlu masak lama supaya buah tidak hancur.
- Tuangkan campuran ke dalam acuan atau loyang.
- Biarkan seketika pada suhu bilik sehingga mengeras sebelum masukkan ke dalam peti sejuk.
- Hidangkan sejuk-sejuk dalam potongan kecil.