Kecil tapi 'power'! Ini 5 manfaat telur puyuh untuk kanak-kanak
SAIZ telur puyuh sememangnya lebih kecil berbanding telur ayam tetapi ia mengandungi pelbagai nutrien penting untuk membantu tumbesaran kanak-kanak.
Kajian yang dijalankan mendapati telur yang memiliki tompok coklat pada kulitnya ini mengandungi protein penting untuk pertumbuhan dan membaiki tisu badan, selain beberapa vitamin serta mineral untuk perkembangan.
Antara nutrien yang terdapat dalam telur puyuh termasuk kolina, vitamin B12, zat besi dan vitamin D dalam jumlah tertentu.

Selain direbus, hidangan telur puyuh juga boleh dipelbagaikan mengikut kesukaan si manja seperti dijadikan sup telur puyuh, telur puyuh masak kicap dan telur puyuh goreng.
Berikut merupakan lima manfaat telur puyuh untuk kanak-kanak.
1. Membantu pertumbuhan dan membaiki tisu badan
Telur puyuh mengandungi protein yang diperlukan tubuh untuk membina dan membaiki tisu, termasuk otot.
Nutrien ini penting sepanjang tempoh tumbesaran kanak-kanak, terutamanya apabila mereka semakin aktif bermain, belajar dan melakukan pelbagai aktiviti fizikal.
2. Menyokong perkembangan otak dan sistem saraf
Telur puyuh mengandungi kolina, iaitu sejenis nutrien yang diperlukan tubuh untuk menghasilkan bahan penting bagi fungsi sel, termasuk asetilkolina yang terlibat dalam penghantaran isyarat saraf.
Nutrien ini turut memainkan peranan dalam perkembangan otak semasa proses tumbesaran.
MENARIK DIBACA: Nak mudah kupas kulit telur rupanya cuma perlu masak tanpa air dalam 'rice cooker'
MENARIK DIBACA: Kecil tapi manis dan berlemak, memang lain rasa sambal telur puyuh
3. Membantu membentuk sel darah merah
Telur puyuh mengandungi vitamin B12 dan zat besi yang penting untuk fungsi tubuh berkaitan dengan pembentukan sel darah merah.
Vitamin B12 diperlukan untuk pembentukan sel darah merah yang normal serta fungsi sistem saraf, manakala zat besi membantu menghasilkan hemoglobin yang membawa oksigen ke seluruh badan.
Pengambilan nutrien mencukupi penting untuk menyokong tumbesaran kanak-kanak.
4. Menyokong pertumbuhan tulang
Telur puyuh turut mengandungi vitamin untuk membantu tubuh menyerap kalsium, iaitu mineral penting bagi pembentukan dan pemeliharaan tulang serta gigi.
Bagaimanapun, jumlah vitamin D pada telur puyuh mungkin agak terhad berbanding telur ayam.

5. Membekalkan tenaga
Telur puyuh turut membekalkan lemak dan tenaga yang diperlukan tubuh untuk menjalankan aktiviti harian.
Saiznya yang kecil memudahkan telur ini dimasukkan ke dalam pelbagai hidangan, misalnya sup sayur, bubur nasi atau hidangan bersama nasi dan lauk lain.
Kepelbagaian makanan penting supaya kanak-kanak mendapat gabungan protein, karbohidrat, lemak sihat, vitamin dan mineral daripada sumber yang berbeza.
Pesanan Kuali:
Saiz telur puyuh yang kecil boleh berisiko menyebabkan kanak-kanak tercekik. Disarankan supaya telur puyuh dipotong kecil atau dilenyekkan mengikut keupayaan mengunyah mereka.