5 jenama santan tempatan tak kalah enak, cita rasa warganet
RAKYAT Malaysia kini dilihat semakin terpanggil untuk lebih menghargai dan memberi sokongan terhadap produk tempatan termasuklah berasaskan makanan.
Antara produk yang menjadi perhatian ialah santan kelapa, bahan asas yang cukup sinonim dengan masakan masyarakat Malaysia.
Santan sering digunakan dalam pelbagai hidangan kegemaran ramai seperti nasi lemak, rendang, gulai dan aneka kuih tradisional.
Bagaimanapun, ketika memilih santan di pasar raya ramai mungkin terbiasa melihat jenama dari negara jiran sehingga terlupa bahawa Malaysia juga ada pilihan produk ini yang tak kurang hebatnya.
Pengguna media sosial kini mula berkongsi jenama santan tempatan yang boleh dijadikan alternatif memandangkan ia tak kalah dari segi kualiti dan rasa.
Berikut Kuali senaraikan beberapa jenama santan yang dikongsikan oleh pengguna media sosial.

1. Santan kelapa Cocolin
Bagi penggemar santan yang praktikal dan mudah digunakan, Cocolin antara jenama yang mendapat perhatian menerusi perkongsian seorang pengguna Threads.
Menurutnya, dia sudah lama menggunakan santan keluaran Sarawak ini kerana tekstur serbuk yang mudah dibancuh mengikut kepekatan dimahukan.
"Dari dulu 'dipacking' dalam bentuk serbuk. Tak risau basi dan tak risau nak guna sikit. Tinggal bancuh dengan air masak (bukan air panas), 'creamy' dan sedap," katanya.
2. Santan kelapa Koko Cuisine
Koko Cuisine turut menjadi antara nama yang boleh dipertimbangkan ketika mencari pilihan santan untuk kegunaan di rumah.
Santan merupakan bahan penting untuk hasilkan masakan berlemak dan berkrim, sekali gus menaikkan rasa hidangan seperti kari, gulai dan masak lemak.
MENARIK DIBACA: Wanita anggap 'rare' masak sambal bubuh santan... Ramai tak setuju, dah berzaman nenek moyang buat!
MENARIK DIBACA: Lagi penemuan benda asing dalam santan kotak - "Tiba-tiba keluar seketul"
3. Santan kelapa Rasaku
Rasaku merupakan jenama di bawah Linaco Group yang telah bertapak sejak 1994.
Berpangkalan di Batu Pahat, Johor, jenama ini menawarkan pelbagai produk berasaskan kelapa untuk kegunaan dapur.
Selain santan kelapa, Rasaku turut menyediakan produk seperti krim kelapa, serbuk krim kelapa dan kerisik yang sesuai untuk melengkapkan pelbagai resipi masakan tempatan.

4. Santan kelapa Saji
Santan kelapa Saji diperkenalkan pada 2020 sebagai sebahagian daripada usaha memperluaskan rangkaian produk makanannya.
Hadir dalam pilihan pembungkusan 200 mililiter dan satu liter ketika pelancaran, produk ini sesuai untuk kegunaan mengikut keperluan masakan.
5. Santan kelapa, Ehsan
Ehsan merupakan jenama di bawah ASD Ehsan Food Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat yang beroperasi di kawasan perindustrian Jalan Genting Klang, Kuala Lumpur.
Selain santan kelapa, syarikat ini turut menawarkan produk berasaskan kelapa seperti kelapa parut dan kerisik di bawah jenama Ehsan.
Syarikat ini turut mempunyai produk kelapa parut dan kerisik yang disenaraikan dalam rekod pensijilan halal Jakim.