Tular video staf lemaskan ayam, dakwaan jual bangkai... Jakim buat siasatan menyeluruh
TULAR di media sosial serbuan dilakukan oleh Ketua Aktivis Surplus, Sophian Mohd Zain ke atas sebuah premis memproses ayam dikendalikan pekerja warga asing yang didakwa melakukan penyembelihan tanpa mengikut syariat Islam.
Menerusi video 'live' yang dikongsikan di Threads, kumpulan individu itu dilihat melakukan penyembelihan ayam dikatakan terletak di Pudu, Kuala Lumpur, di mana proses pengendalian menimbulkan keraguan mengenai status halalnya.
Dalam video itu, Sophian menyifatkan aktiviti itu sebagai biadab serta kurang ajar kerana menjual ayam bangkai.

“Manusia ni buat kerja kurang ajar biadab tuan-tuan. Ini (ayam) kita makan bangkai sebenarnya,” dakwanya.
Pada masa sama, Sophian turut mempersoalkan aspek penguatkuasaan yang mana rakyat Malaysia wajib mendapatkan sijil pengendalian makanan dan kursus sembelihan, berbeza dengan pekerja warga asing yang dilihat boleh melakukan sewenang-wenangnya.
MENARIK DIBACA: Sup suhun ringkas mampu bangkit selera, tak perlu susah-susah masak
MENARIK DIBACA: Perah lemon dan letak garam bantu nasi tahan lama, tak cepat basi
“Rakyat Malaysia kena ambil sijil, kursus, buat semua. Kita rakyat Malaysia kena ikut semua undang-undang tetapi warga asing datang, senang kerja,” kata Sophian yang turut mendakwa pekerja kedai ayam tersebut melarikan diri ketika serbuan dibuat.
Menerusi sebuah lagi video, kelihatan beberapa pekerja warga asing 'menyembelih' ayam sebelum mencampakkan haiwan yang masih hidup itu ke dalam air sehingga mati sebelum dijual kepada pembeli.
Di ruangan komen, ramai pengguna meluahkan rasa kesal dengan kejadian tersebut kerana sedar ayam tersebut telah menjadi bangkai.

Pengguna turut meluahkan rasa resah dan bimbang jika kejadian seumpama ini terus dibiarkan berlaku tanpa apa-apa tindakan oleh pihak berwajib.
"Masya-Allah sembelih tak baca Bismillah, lepas tu campak dalam air bagi lemas. Itu dah jadi bangkai, haram hukumnya.
"Ayam belum mati dan campak masuk dalam air. Ayam mati lemas, bukan sebab sembelih.
"Ya Allah ramai dah makan bangkai rupanya. Risau," kata beberapa pengguna.
Susulan kejadian itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan sedang melakukan siasatan menyeluruh terhadap sebuah syarikat.
Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata premis berkenaan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selepas semakan dibuat.
"Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan syarikat bukan pemegang SPHM terkait isu ayam yang sedang tular," katanya, memetik Harian Metro, Selasa.