Buat sendiri wajik lebih berlemak, puas makan! Cuma guna 5 bahan, resipi pun mudah
SEKALI pandang kuih wajik nampak biasa sahaja, malah kita tak terpanggil pun untuk menikmatinya.
Jika sajian tradisional ini dibuat menggunakan cara betul dengan hasilnya cantik berkilat, manis gula merah meresap sampai ke pulut dan terbit aroma santan serta daun pandan, sudah pasti mampu membangkit selera.
Jika dapat menikmati wajik yang sedap, memang susah nak berhenti makan!
Kalau teringin nak buat sendiri di rumah, bolehlah cuba resipi wajik yang dikongsikan oleh Nanaperak Mardiana di Facebook.

Bahan digunakan pun tak banyak, hanya perlukan sedikit kerajinan mengacau wajik atas api sampai adunan betul-betul pekat dan berkilat.
Menariknya, wajik ini bukan saja sedap dimakan selepas sejuk dan dipotong malah ketika masih suam pun sudah cukup menggoda selera.
Jom tengok bahan-bahan dan cara membuatnya!
Bahan-bahan:
- 4 cawan beras pulut
- 4 cawan santan pekat
- 2 cawan gula merah
- Garam secukup rasa
- Daun pandan disimpulkan
MENARIK DIBACA: 3 kebaikan makan yogurt 'homemade'... Ini cara mudah penyediaan, nikmati tanpa ragu
MENARIK DIBACA: Label 'less sugar', hakikatnya tinggi gula! Ini cara kenal pasti yogurt 'sihat'
Cara penyediaan
- Cuci beras pulut sehingga bersih kemudian kukus atau tanak hingga masak. Ketepikan pulut untuk digunakan kemudian.
- Satukan gula merah dengan santan kemudian kacau sehingga gula larut sepenuhnya. Tapis campuran tersebut dalam kuali bagi membuang sebarang bendasing.
- Masukkan daun pandan yang telah disimpulkan lalu masak campuran santan dan gula merah sehingga mendidih dan sedikit pekat.
- Masukkan garam secukup rasa untuk menaikkan rasa lemak santan. Selepas itu, masukkan pulut yang telah dimasak tadi ke dalam kuali.
- Kacau pulut bersama campuran santan dan gula merah sehingga sebati. Teruskan mengacau supaya adunan tidak melekat atau hangit di dasar kuali.
- Masak sehingga adunan semakin pekat, pulut tidak lagi berketul dan semuanya bersalut sekata dengan gula merah. Apabila wajik kelihatan berkilat serta melekat elok, boleh tutup api.
- Tuang wajik ke dalam bekas yang telah dialas dengan daun pisang. Ratakan permukaannya dan biarkan sejuk sebelum dipotong mengikut saiz yang diinginkan.