Masak 10kg udang butter habis licin! Wanita kongsi resipi, tip isi kekal 'juicy'
JANGAN masak udang terlalu lama!
Itulah antara tip penting untuk memastikan isi udang kekal lembut dan berjus sekali gus menjadikan hidangan lebih menyelerakan.
Bagi penggemar makanan laut, sajian udang butter yang menggabungkan rasa lemak mentega, masin manis serta aroma bawang putih serta daun ketumbar pasti membuka selera lebih-lebih lagi apabila dinikmati bersama nasi putih.
Tidak hairanlah resipi yang dikongsikan seorang wanita di Facebook, Salbiah Ahamad, mendapat perhatian ramai sehingga ada yang memintanya berkongsi semula cara penyediaan masakan itu.

Malah, udang yang dimasak dalam kuantiti besar sehingga mencecah 10 kilogram itu juga dikatakan habis licin.
Bagi yang ingin mencuba sendiri hidangan ini di rumah, berikut resipi udang butter yang dikongsikan olehnya.
Bahan-bahan
- 500 gram udang
- 150 gram mentega
- Dua sudu besar sos tiram
- Dua sudu kecil chili flakes
- Satu sudu kecil gula
- Satu kiub pati ayam
- Tiga ulas bawang putih, dicincang
- Tiga biji cili padi, dihiris
- Daun ketumbar
- Garam secukup rasa
MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!
MENARIK DIBACA: Daun bawang dah 4 hari potong masih segar! Cef kongsi tip elak potongan sayur cepat layu
Cara penyediaan
- Panaskan mentega di dalam kuali kemudian masukkan udang dan goreng sehingga bertukar warna. Angkat dan ketepikan bagi mengelakkan udang terlebih masak.
- Menggunakan kuali yang sama, tumis bawang putih, batang ketumbar dan cili padi sehingga naik bau.
- Masukkan kiub pati ayam, 'chili flakes' dan sos tiram. Kacau sehingga semua bahan sebati.
- Tambah gula dan sedikit garam jika perlu. Sebaiknya, rasa dahulu kuah berkenaan sebelum menambah garam kerana sos tiram dan kiub pati ayam sudah mempunyai rasa masin.
- Masukkan semula udang yang telah digoreng tadi ke dalam kuali. Gaul sehingga setiap ekor udang disaluti kuah butter dengan sempurna.
- Akhir sekali, taburkan daun ketumbar dan gaul sebentar sebelum diangkat. Udang butter sedia untuk dihidangkan.