Guna bahan perap ringkas, ini resipi ayam 'roasted' versi mudah dan pantas
HUJUNG minggu pastinya lebih menyeronokkan apabila dapat menyediakan hidangan istimewa buat keluarga.
Tanpa perlu bersusah payah ke restoran, ayam panggang boleh disediakan sendiri di rumah dengan mudah dan cepat!
Gabungan beberapa jenis sos untuk membuat ayam panggang sudah pasti membuka selera dengan gabungan rasa pedas dan manis.
Hidangan ini sesuai dipadankan bersama nasi putih, kentang panggang, salad atau sayur-sayuran untuk melengkapkan sajian.
Perkongsian resipi ayam 'roasted' versi mudah dan pantas oleh seorang wanita di Facebook dikenali sebagai Syaz Jannah sememangnya menarik perhatian.
Jom Kuali kongsikan cara penyediaannya:

MENARIK DIBACA: Pilih susu oat, soya dan badam kerana anggap lebih sihat? Fakta penting ini anda perlu tahu
MENARIK DIBACA: Kuih apam bakar ada rasa pisang dan rempah, sajian tradisional unik dari Kelantan
Bahan-bahan
- Ayam
- Bawang putih
- Halia
- Mentega
- Kiub pati ayam
- 2 sudu besar sos tiram
- 2 sudu besar sos cili
- 2 sudu besar sos barbeku
- 2 sudu besar sos lada hitam
- 2 sudu besar madu
- Serbuk cili secukupnya
Cara penyediaan
- Masukkan bawang putih, halia, mentega dan kiub pati ayam ke dalam pengisar. Kisar sehingga menjadi pes yang sebati untuk dijadikan bahan perapan ayam.
- Masukkan pes yang telah dikisar ke dalam bekas kemudian tambahkan sos tiram, sos cili, sos BBQ dan sos lada hitam, masing-masing sebanyak dua sudu besar. Gaul hingga semua bahan sebati.
- Jika gemarkan rasa manis tambahkan dua sudu besar madu. Serbuk cili juga boleh dimasukkan jika mahukan rasa lebih pedas dan warna ayam yang lebih menarik.
- Salutkan ayam dengan bahan perapan sehingga rata. Perapkan ayam selama dua jam di dalam peti sejuk supaya bahan perapan meresap dengan baik.
- Jika menggunakan air fryer, bakar ayam pada suhu 170°C selama 30 minit kemudian terbalikkan ayam dan bakar selama 30 minit lagi.
- Untuk ketuhar, bakar ayam pada suhu 200°C selama kira-kira 60 minit. Periksa kematangan ayam sebelum dihidangkan.