Minyak masak dalam bungkusan plastik kualiti rendah? MPOB beri penjelasan
DI sesetengah rumah, minyak masak paket (satu kilogram) lebih menjadi pilihan kerana faktor harga yang jauh lebih murah berbanding minyak masak dalam kemasan botol.
Bagaimanapun, apabila ada netizen mempersoalkan kualiti antara minyak paket dan botol terutama dari aspek kesihatan, ramai mahu mendapatkan kepastian.
Persoalan berkaitan perkara ini juga menyebabkan pelbagai pandangan dikongsi warganet sehingga akhirnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.
Ada yang mendakwa minyak paket mempunyai kualiti lebih rendah dengan mengaitkan kod seperti CP8 dan CP10 pada bungkusan menandakan minyak tersebut kurang bagus jika dibandingkan dengan minyak botol.
Ketua Unit Teknologi Makanan dan Makanan Ternakan dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Norazura Aila Mohd Hassim berkata persepsi bahawa minyak masak paket mempunyai kualiti lebih rendah berbanding minyak botol adalah tidak tepat.

Menurut Norazura, kedua-dua jenis produk tersebut telah memenuhi kriteria dan piawaian keselamatan makanan yang telah ditetapkan.
"Ramai pengguna beranggapan bahawa minyak masak paket kualitinya lebih rendah berbanding minyak botol disebabkan perbezaan harga.
"Bagaimanapun, perbezaan harga minyak paket bukan disebabkan oleh kualiti minyak yang lebih rendah, sebaliknya ia berkait dengan subsidi yang diberikan kerajaan dikhususkan untuk kegunaan isi rumah," katanya kepada Kuali.
Norazura berkata, pengguna tidak seharusnya menjadikan harga murah sebagai petunjuk bahawa minyak paket kurang berkualiti berbanding yang dijual dalam botol.
Selain faktor harga, pengguna juga sering keliru disebabkan kod CP (Cloud Point) atau takat keruh yang tertera pada sesetengah produk minyak masak sawit.
MENARIK DIBACA: Minyak masak terpakai jangan dibuang, ini 5 tempat boleh dijual selain ejen persendirian
MENARIK DIBACA: Minyak paket murah tapi ramai risau kualiti, risiko kesihatan... Pengguna perlu tahu fakta ini!
Ada yang beranggapan semakin tinggi nilai CP, semakin rendah kualiti minyak tersebut.
Bagaimanapun, Norazura menjelaskan bahawa CP sebenarnya merujuk kepada titik keruh iaitu suhu apabila minyak mula kelihatan keruh.

“CP merujuk kepada suhu di mana minyak mula kelihatan keruh. Contohnya, CP6 bermaksud minyak mula keruh pada suhu 6 darjah Celsius.
"Keadaan minyak menjadi keruh atau muncul mendakan putih apabila berada pada suhu rendah juga bukan bermaksud minyak tersebut telah rosak atau dicemari bahan asing," jelasnya.
Tambahnya lagi, mendakan berwarna putih itu boleh berlaku disebabkan kewujudan stearin, iaitu sebahagian daripada komponen semula jadi minyak sawit yang lebih mudah memejal pada suhu rendah.

"Kekeruhan atau mendakan putih (stearin) pada suhu rendah adalah sifat semula jadi minyak sawit, bukannya kerosakan atau bendasing.
"Justeru, nilai CP seperti CP6, CP8 atau CP10 tidak seharusnya dijadikan ukuran bagi menentukan sama ada sesuatu minyak masak itu berkualiti tinggi atau rendah.
"Nilai CP adalah sifat fizikal dan alat pemasaran sahaja, bukannya petunjuk kualiti rendah atau tinggi," katanya.
Justeru katanya, pengguna tidak perlu berasa ragu-ragu semata-mata kerana minyak masak yang dibeli dibungkus dalam plastik dengan berat satu kilogram serta murah harganya.
Minyak masak paket dan dalam botol mempunyai kualiti serta jenis yang sama, manakala perbezaan harga disebabkan minyak paket mendapat subsidi kerajaan bukan disebabkan mempunyai kualiti lebih rendah.