[V] Setiap kali lepas masak, cef keluar dapur menari hantar makanan pelanggan
PELBAGAI cara dilakukan peniaga untuk menarik perhatian pelanggan termasuklah mengadakan jualan murah atau promosi.
Berbeza dengan seorang pemilik restoran ayam goreng di Shandong, China yang menjadikan tarian sebagai daya penarik.
Menerusi video yang tular di media sosial, pemiliknya, chef Zhang Yuanzhang mencuri perhatian ramai apabila menari sambil menghantar hidangan kepada pelanggan.
Pada awalnya, Zhang Yuanzhang yang lebih dikenali di media sosial sebagai Nao Nao cuma berkongsi video dirinya menari di dapur ketika memasak menggunakan kuali besar.

Bagaimanapun, dia semakin popular selepas seorang pelanggan merakam aksinya membawa periuk berisi ayam yang masih panas ke meja sambil menari mengikut rentak muzik.
Ternyata aksi tersebut bukan sahaja menghiburkan pelanggan, malah menjadikan restoran miliknya tular di media sosial.
Di sebalik tariannya, restoran yang dikenali sebagai Zhang Yuanzhang Stir-Fried Chicken itu terkenal kerana prinsip dalam penyediaan makanan yang diamalkan.
MENARIK DIBACA: Abang bomba ikut isteri ke luar negara, dari tak pandai masak kini handal kendali dapur restoran di UK
MENARIK DIBACA: [V] Macam makan dekat Bali, restoran ini kena masuk ‘list’ kalau ke Putrajaya
Memetik laporan China Insider, Zhang berpegang pada prinsip tidak menghidangkan makanan yang dimasak lebih awal atau hidangan siap saji yang perlu dipanaskan sebelum dihidangkan kepada pelanggan.
Sebaliknya, setiap pesanan akan dimasak segar sebaik sahaja pelanggan membuat tempahan.
Prinsip itu sering diulang dalam video yang dikongsikannya menerusi slogan yang membawa maksud 'tiada hidangan siap diproses dan semuanya dimasak segar mengikut pesanan'.
Populariti tersebut menyebabkan Zhang yang menguruskan restoran tersebut bersama isterinya terpaksa bekerja sehingga pukul 3 pagi setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pasangan itu bukan sahaja penat, malah suara isterinya juga dilaporkan serak gara-gara terpaksa melayan pelanggan yang terlalu ramai.
Jumlah pelanggan yang semakin ramai menyebabkan tempoh menunggu menjadi lebih lama.
Keadaan itu menjadi lebih mencabar kerana Zhang masih berpegang pada prinsip untuk memasak sendiri setiap hidangan yang dipesan pelanggan.
Pada masa sama, dia juga mahu memastikan setiap hidangan dihantar sendiri sambil melakukan tarian yang menjadi identitinya.
Situasi tersebut meletakkan Zhang dalam keadaan serba mencabar apabila perlu mengimbangi permintaan pelanggan, kualiti makanan dan persembahan yang membuatkan restorannya terkenal.