Bercuti ke Vietnam jangan lupa cuba kopi belacan, siap ada 'topping' tuna kering
KEBIASAANNYA kopi dinikmati bersama susu, krim atau sirap berperisa bagi menghasilkan rasa yang lebih manis dan enak.
Bagaimanapun, sebuah kafe di Vietnam tampil dengan kelainan apabila memperkenalkan kopi dicampur dengan mam ruoc (pes udang yang diperam) atau lebih dikenali sebagai belacan.
Minuman unik itu diperkenalkan oleh kafe TOC Gallery yang terletak di 4 Nguyen Thi Minh Khai Street, Thuan Hoa Ward, Hue City, Vietnam.
Memetik laporan VnExpress, kafe berkenaan mula menawarkan kopi istimewa itu pada awal September lalu dan lebih mengejutkan apabila jumlah pelanggan meningkat kira-kira 20 peratus sejak minuman itu diperkenalkan.
Bandar Hue sememangnya terkenal dengan kopi garam namun penggunaan pes udang sebagai salah satu bahan dalam minuman itu dianggap sebagai satu eksperimen berani.
Mana tidaknya, mam ruoc lazimnya digunakan sebagai bahan perasa dalam masakan tradisional masyarakat setempat termasuk bun bo Hue iaitu mi berkuah daging lembu pedas serta com hen sejenis hidangan nasi bersama kerang kecil.

Pes itu dihasilkan menggunakan ruoc atau udang laut yang dicampurkan dengan garam sebelum diperam di dalam tempayan tanah liat.
Aroma dan rasanya yang kuat menyebabkan idea untuk mencampurkan bahan berkenaan ke dalam kopi pada awalnya kedengaran agak janggal.
Bagaimanapun, pemilik bersama TOC Gallery, Tran Ngoc Anh Tuan, 32, mempunyai pandangan berbeza apabila mahu mengetengahkan keunikan cita rasa tempatan melalui minuman tersebut.
Menurut Tuan, selepas kopi garam mendapat sambutan di Hue, dia bersama pasukannya mula mencari idea baharu yang masih mengekalkan identiti kulinari bandar berkenaan.
MENARIK DIBACA: Kopi 'sachet' dianggap mewah! Ini 5 fakta menarik budaya 'mengopi' Korea Utara
MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!
"Ruoc merupakan rempah ratus yang sudah tidak asing di dapur-dapur Hue tetapi sebelumnya tidak pernah digunakan dalam minuman," katanya.
Difahamkan idea ini melalui pelbagai proses eksperimen selama enam bulan sebelum berjaya menghasilkan resipi yang kini menjadi antara menu popular kafe tersebut.
Bagi memastikan rasa pes udang tidak terlalu kuat, mam ruoc dimasak bersama gula karamel dan krim untuk mengurangkan aroma 'tajam'nya selain menghasilkan tekstur serta rasa yang lebih lembut.
Menariknya, setiap gelas kopi berkenaan mempunyai empat lapisan berbeza.
Bahagian paling bawah terdiri daripada susu yang dicampurkan dengan susu pekat manis diikuti kopi yang menggunakan gabungan biji Arabika dari kawasan pergunungan A Luoi, Hue dan biji Robusta.
Lapisan seterusnya pula ialah krim mam ruoc, sebelum minuman itu dilengkapkan dengan taburan hirisan nipis ikan tuna kering.
Gabungan bahan berkenaan menghasilkan rasa kopi yang masih kuat tetapi disertai sentuhan masin dan gurih daripada pes udang yang digunakan.

Tuan menjelaskan rasa masin mam ruoc sebenarnya sesuai digandingkan dengan kopi.
Dia mengelakkan penggunaan bahan berperisa masam kerana dikhuatiri boleh menjejaskan tekstur dan rasa lapisan krim di bahagian atas.
Bukan sekadar bahannya yang unik, cara menikmati kopi berkenaan juga mempunyai kelainan tersendiri.
Tuan menyarankan pelanggan supaya tidak menggunakan penyedut minuman ketika menikmatinya.
Sebaliknya, pelanggan hanya perlu mengacau kopi dan susu di bahagian bawah gelas manakala lapisan krim mam ruoc dibiarkan kekal di permukaan.
Kopi kemudian diminum terus dari bibir gelas bagi membolehkan krim pes udang bercampur dengan rasa pahit kopi ketika diteguk.
Kaedah itu juga membolehkan aroma gurih mam ruoc dirasai pada penghujung setiap tegukan.
Bagi yang ingin mencuba, segelas kopi ini dijual pada harga sekitar RM10 dan TOC Gallery dilaporkan mampu menjual kira-kira 50 gelas sehari.
Walaupun gabungan kopi dan pes udang mungkin kedengaran pelik bagi sesetengah orang, minuman itu berjaya menarik perhatian pelanggan yang ingin mencuba sesuatu berbeza.