Sengaja campur cat dalam makanan murid tadika, pengetua dan staf dipenjara
LEBIH 200 kanak-kanak di sebuah tadika dilaporkan mengalami keracunan plumbum selepas menjamah makanan yang dicemari cat dengan sengaja.
Lebih mengejutkan, kejadian itu melibatkan pihak pengurusan tadika sendiri.
Menurut laporan People, kejadian itu berlaku pada Julai lalu di Tadika Peixin, bandar Tianshui, China.

Siasatan dijalankan selepas pihak berkuasa menerima laporan bahawa beberapa kanak-kanak mempunyai paras plumbum sangat tinggi dalam darah.
Dua individu yang terlibat dalam pengurusan tadika berkenaan didapati mengarahkan kakitangan dapur membeli cat secara dalam talian sebelum menggunakannya dalam penyediaan makanan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pula menunjukkan seorang kakitangan dapur menuang cat berbentuk serbuk ke dalam mangkuk sebelum mencampurkannya ke dalam adunan tepung.
Susulan kejadian itu, kira-kira 10 individu termasuk pengetua dan kakitangan tadika ditahan kerana disyaki menghasilkan makanan beracun dan berbahaya.
MENARIK DIBACA: Pelajar hilang ingatan selepas alami keracunan makanan
MENARIK DIBACA: Ratusan pelajar keracunan makanan lepas makan sajian percuma, ketua dapur dipecat
Pada awal Oktober lalu, pengetua tadika berkenaan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup serta aset peribadinya bernilai 500,000 yuan (RM1.34 juta) dirampas selepas didapati bersalah.
Sementara itu, seorang lagi individu yang memegang jawatan timbalan ketua eksekutif tadika dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda 300,000 yuan (RM809,000).
Empat lagi kakitangan yang terlibat turut dijatuhi hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun.