Jangan buang biji! Ini cara tanam tembikai di rumah, 2 bulan boleh tuai hasil
TEMBIKAI antara buah yang cukup digemari ramai kerana rasanya yang manis, berjus dan menyegarkan lebih-lebih lagi dimakan ketika cuaca panas.
Biasanya, buah ini dibeli di pasar atau pasar raya tetapi tahukah anda tembikai juga boleh ditanam sendiri di rumah?
Menariknya, proses menanam tembikai tidaklah sesukar yang disangka.
Dengan adanya biji benih daripada buah yang sudah matang, tanah yang subur serta penjagaan yang betul, anda boleh menikmati sendiri hasil tembikai yang ditanam di rumah.

Tempoh untuk menuai hasil tembikai juga dikatakan agak singkat iaitu sekitar dua bulan, jika tanaman dijaga dengan baik.
Bagi yang ingin mencuba, berikut Kuali kongsikan langkah demi langkah cara menanam tembikai sendiri di rumah seperti yang dikongsikan laman Arus Perdana.
1. Sediakan biji benih
Mula-mula asingkan biji daripada buah tembikai yang sudah matang. Bersihkan biji tersebut sehingga tiada sisa isi buah yang melekat sebelum digunakan untuk proses percambahan.
Pastikan biji yang dipilih berada dalam keadaan baik untuk hasil buah memuaskan.

2. Semai biji sehingga bercambah
Sediakan dulang atau bekas kecil, kemudian lapik dengan tisu. Susun biji tembikai di atasnya dan tutup menggunakan satu lagi lapisan tisu.
Basahkan tisu sehingga lembap, tetapi elakkan air bertakung. Letak bekas di kawasan teduh dan pastikan tisu sentiasa lembap dengan menyemburkan sedikit air setiap hari. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, biji benih akan mula bercambah.
3. Pindahkan anak pokok
Selepas biji benih bercambah dan anak pokok mula membesar, pindahkan ke dalam pasu besar, bekas tanaman atau kawasan tanah yang sesuai.
Pastikan pencahayaan matahari mencukupi kerana pokok tembikai memerlukan cahaya untuk tumbuh dengan baik.
Jika menggunakan pasu, pastikan saiznya mencukupi untuk perkembangan akar dan mempunyai lubang saliran supaya air tidak bertakung.
MENARIK DIBACA: Bukan cuma makan begitu sahaja, ini 5 cara unik tembikai dinikmati di pelbagai negara
MENARIK DIBACA: Jangan buang! Kulit tembikai boleh dijadikan halwa, sedap dimakan bersama nasi
4. Gunakan tanah subur
Pokok tembikai memerlukan tanah yang subur, gembur dan mempunyai saliran yang baik.
Anda boleh menambah bahan organik yang telah reput sebagai baja semula jadi bagi membantu membekalkan nutrien kepada pokok.
Siram mengikut keperluan, terutama ketika cuaca panas dan pastikan tanah tidak terlalu kering dan basah.
5. Berikan sokongan pada pokok
Pokok tembikai mempunyai batang menjalar yang boleh memenuhi ruang tanaman apabila semakin membesar.
Jika ditanam di kawasan yang terdedah kepada angin, pastikan pokok mendapat sokongan yang sesuai supaya batangnya tidak mudah rosak.
Gunakan sokongan yang kukuh dan sediakan alas untuk menampung berat buah apabila mula membesar.

6. Kawal jumlah buah
Apabila pokok mula berbunga dan mengeluarkan buah, perhatikan perkembangan setiap buah serta keadaan keseluruhan pokok.
Bagi tanaman berskala kecil, anda boleh hadkan jumlah buah pada setiap pokok, contohnya satu hingga dua biji, bergantung pada jenis tembikai dan kekuatan pokok.
7. Tempoh tuaian
Buah tembikai biasanya mula berputik dalam tempoh sebulan selepas ditanam. Selepas kira-kira dua bulan, buah sudah boleh dituai dan dinikmati.