Tetamu kenduri bergaduh tak cukup daging, khemah hampir roboh - "Selapar itukah rakyat Indonesia?"
SEBUAH majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung meriah bertukar kecoh apabila berlaku pergaduhan antara tetamu sehingga keadaan bertukar menjadi huru hara.
Memetik laporan Naraya Media, kejadian yang berlaku di majlis perkahwinan di Jawa Barat, Indonesia pada 19 Oktober lalu itu dikatakan berpunca daripada lauk daging yang dihidangkan.
Menurut laporan, seorang tetamu didakwa mengambil dua ketul daging yang dihidangkan lalu ditegur oleh tuan rumah.

Pada masa sama seorang tetamu dikatakan telah melontarkan ungkapan dalam Bahasa Sunda, 'ngadahar laja dikira daging', yang bermaksud makan lengkuas tetapi disangka daging.
Difahamkan kata-kata itu dipercayai merujuk kepada keadaan tetamu yang tidak mendapat hidangan daging seperti diharapkan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati.
MENARIK DIBACA: Resipi daging kurma ala kenduri tak rumit, puas hati masak sendiri
MENARIK DIBACA: Keluarga besar sakan bawa bekal naik 'flight', suasana dalam pesawat macam ada kenduri
Menerusi video yang tular di media sosial, kelihatan beberapa individu dipercayai tetamu majlis kenduri kahwin bergaduh sesama sendiri dengan aksi tolak menolak.
Bukan itu sahaja, kekecohan yang berlaku juga menyebabkan khemah kenduri yang dipasang kelihatan bergoyang dan hampir roboh.
Tidak cukup dengan itu, terdapat beberapa tetamu kelihatan menangis dipercayai kerana terkejut sambil cuba meleraikan pergaduhan yang berlaku.
Kejadian yang berlaku turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang mengkritik pergaduhan gara-gara daging itu sebagai sangat memalukan negara.

Malah terdapat juga netizen bersimpati dengan tuan rumah terutama pengantin apabila hari bahagia yang diadakan musnah begitu sahaja.
"Selapar itukah rakyat Indonesia? Memalukan sudah seperti monyet berebut pisang.
"Kasihan pengantin bila hari bahagianya telah musnah.
"Sangat memalukan, sudahlah miskin, bodoh lagi," komen beberapa netizen Indonesia.