Guna 3 bahan dapur buat 'krim' gatal... Ikhtiar rawat kayap, panau dan kurap
MASALAH kulit seperti panau, kurap dan kayap bukan sahaja menyebabkan rasa tidak selesa malah boleh menjejaskan keyakinan diri terutamanya jika ia muncul pada bahagian tubuh yang mudah dilihat.
Selain mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan daripada doktor, terdapat juga petua tradisional boleh diamalkan sebagai ikhtiar untuk menyelesaikan masalah kulit ini.
Antara petua yang boleh dicuba adalah dengan menggunakan tiga bahan dapur yang mudah didapati dan kosnya juga rendah.
Caranya juga sangat mudah, hanya perlu lakukan secara konsisten sehingga masalah kulit pulih sepenuhnya.

Bahan-bahan
- 2 sudu besar tepung jagung
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 2 biji limau kasturi
- Air secukupnya
Cara penyediaan dan langkah penggunaan
- Masukkan tepung jagung dan serbuk kunyit dalam mangkuk.
- Belah dan perah dua biji limau kasturi ke dalam campuran tersebut.
- Tambah sedikit air dan gaul sehingga semua bahan sebati. Pastikan adunan tidak terlalu cair.
- Petua asal mencadangkan adunan disapu pada bahagian kulit yang bermasalah dan dibiarkan selama 30 minit sebelum dibilas sehingga bersih.
MENARIK DIBACA: Cegah nyanyuk antara 5 kebaikan makan kunyit, ini cara pengambilannya
MENARIK DIBACA: Buat sendiri jeli kesihatan guna lemon, kunyit dan halia... Snek enak, bantu kulit 'glowing'
Bagaimanapun, penggunaan campuran ini perlu dilakukan dengan berhati-hati.
Elakkan menyapunya pada kulit yang luka, melepuh, meradang atau mengalami kegatalan teruk kerana limau kasturi yang berasid boleh menyebabkan pedih dan iritasi.
Sekiranya ruam terasa sakit, merebak, mengeluarkan lepuh atau tidak menunjukkan tanda pemulihan, dapatkan pemeriksaan doktor.
Rawatan segera amat penting jika ruam kayap muncul berhampiran mata atau muka.