Tersentuh lihat semangat Eerah, PMX beri sumbangan kepada 'gadis burger' istimewa
KISAH semangat dan kegigihan seorang gadis kelainan upaya (OKU) dikenali sebagai Eerah yang menjual burger bersama bapanya, Nadzri Abd Majid turut mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX).
Sebagai tanda prihatin atas kegigihannya mencari rezeki mengusahakan gerai burger, Anwar berbesar hati memberikan sumbangan kepada Eerah.
Dalam satu perkongsian di Facebook, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi mewakili PMX dilihat menyampaikan sumbangan tersebut kepada Eerah bersama bapanya di Putrajaya, Rabu.

"Saya berpeluang bertemu dan menyantuni adik Jaheerah atau mesra dengan panggilan adik Eerah bersama bapanya.
"Walaupun merupakan insan OKU pembelajaran termasuk disleksia, semangat serta kesungguhan adik Eerah membuktikan bahawa kekurangan bukanlah satu halangan untuk berjaya.
"Mewakili perdana menteri, saya sampaikan sumbangan kepada adik Eerah sebagai tanda prihatin dan dorongan untuk lebih sukses. Semoga perniagaan ini terus berkembang maju dan diberkati sentiasa agar menjadi inspirasi kepada orang ramai di luar sana," tulisnya dalam hantaran tersebut.
MENARIK DIBACA: Menu tulisan tangan di gerai burger jadi perhatian - "Nampak ikhlas dia buat"
MENARIK DIBACA: Burger berbalut tisu pink menggamit memori
Fauzi berkata kisah tentang usaha dan kegigihan Eerah menjual burger dalam keadaan 'kekurangan' bukan sahaja meruntun hati masyarakat, malah turut menyentuh hati PMX sekali gus terpanggil untuk memberikan sokongan.
Menerusi foto yang dikongsikan, kelihatan Eerah sambil ditemani bapanya menerima sumbangan daripada wakil PMX dalam satu pertemuan ringkas namun cukup bermakna.
Gadis istimewa itu mula menarik perhatian ramai selepas kisahnya mengusahakan perniagaan Eerah Burger di Kota Warisan, Sepang sejak lima tahun lalu tular dalam media sosial.

Walaupun dilahirkan sebagai insan OKU pembelajaran dan disleksia, dia tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk tidak berusaha dan bekerja untuk mencari rezeki.
Perniagaan yang diusahakan itu mampu mencatatkan jualan sehingga 100 biji burger sehari, sekali gus membuktikan kesungguhan Eerah untuk membantu ekonomi keluarganya.
Pencapaian tersebut turut memperlihatkan bagaimana perniagaan kecil yang diusahakan bersama ahli keluarga mampu menjadi sumber pendapatan, selain membuka ruang kepada individu berkeperluan khas untuk melibatkan diri dalam aktiviti ekonomi.