Ikan kembung percik enak, juadah tradisional penuh aroma
JIKA anda sedang memikirkan tentang menu tengah hari, boleh cuba resipi hidangan tradisional Kelantan terkenal, percik ikan kembung yang menyelerakan.
Resipi Air Balang Jalanan di Facebook bukan sahaja mudah tetapi memberikan kepuasan selera sesiapa sahaja menikmatinya.
Aroma bahan kisar harum ketika dibakar, disusuli dengan kuah santan pekat dan berperisa menjadikan hidangan ini antara menu sesuai untuk seisi keluarga.
MENARIK DIBACA: [V] Afieq Syazwan elak minum kopi dan teh susu sebelum persembahan, punca tekak berkahak
MENARIK DIBACA: Kena cuba resipi ayam cili santan pedas berlemak, macam rendang tapi bukan!
Menariknya, resipi ini boleh diolah mengikut cita rasa sendiri. Selain ikan kembung, boleh ganti bahan mentah dengan ayam untuk rasa berbeza.
Jom cuba sendiri resipi percik Kelantan hok sedak molek ni!
Bahan-bahan
Perapan ikan
- 8 ulas bawang putih
- 3 batang serai
- 1 inci halia
- 1 sudu besar cili kering kisar
- 2 inci kunyit hidup
- Sedikit serbuk perasa
- 1 sudu besar garam
- Setengah sudu kecil serbuk jintan manis
- Sedikit belacan (pilihan)
- Sedikit air
Bahan kuah
- 8 biji bawang merah saiz sederhana
- 2 ulas bawang putih sehiris halia
- 1 sudu kecil jintan (sangai)
- Sedikit belacan
- 3 sudu besar cili kering
- 900ml santan pekat
- 2 hiris asam keping
Bahan perasa
- 2 sudu kecil garam bukit
- 2 sudu besar gula pasir
- 2 sudu besar gula kabung thai halal
- 1 sudu kecil serbuk perasa
Cara penyediaan
- Kisar bahan perapan ikan dan perap selama sejam.
- Jika guna ayam, lumur pada ayam dan rebus sekejap ayam di atas dapur dengan sedikit santan sehingga separuh masak.
- Kisar bahan kuah dan masukkan dalam periuk.
- Masukkan santan pekat dan bahan perasa.
- Masak sampai mendidih dan kuah menjadi pekat.
- Bakar ikan di atas pemanggang atau boleh gunakan kuali.
- Salut kuah percik pada ikan. Untuk salutan lebih pekat, ulang Langkah sama sehingga empat kali.