Makan ditemani si bulus, Spring Spring Cafe syurga buat pencinta kucing
BAYANGKAN sedang seronok menikmati sepotong ke, tiba-tiba seekor kucing berbadan gebu datang duduk di pangkuan anda.
Begitulah pengalaman unik yang menanti setiap pengunjung di Spring Spring Cafe, iaitu sebuah kafe kucing yang terletak di Taman Paramount, Petaling Jaya.
Untuk memasuki ruang kafe ini, pengunjung hanya perlu membuat sumbangan kecil untuk menyokong program bantuan kucing terbiar (stray cats) yang dianjurkan kafe berkenaan.

Berbeza dengan sesetengah kafe kucing lain, kucing-kucing di sini dibiarkan bebas bermain dan berkeliaran di setiap sudut premis.
Ada yang suka baring malas di sofa, ada juga aktif berlari mengejar mainan, dan tak kurang juga datang menyapa pengunjung dengan renungan mata bulat yang manja.
Selain kucing, tarikan utama Spring Spring Cafe sudah tentulah aneka hidangan yang memikat selera terutama pencuci mulutnya.
Antara yang sempat dicuba ialah Matcha Double Fromage iaitu cheesecake berkrim dengan tekstur halus diserikan dengan rasa matcha lembut.
MENARIK DIBACA: [V]‘Tudiaaa’ banjir pinggan kuah nasi kandar, padu makan sampai licin
MENARIK DIBACA: Saiz ayam besar dan puas makan, harga pula cukup berpatutan
Kepahitan matcha tidak terlalu kuat, cukup memberikan keseimbangan rasa manis dan masam, sesuai bagi peminat teh hijau ringan.
Bukan itu sahaja, Yogurt Raspberry Cake iaitu kek span gebu disalut coklat putih menampilkan rasa masam manis buah raspberry yang segar.
Setiap suapan memberi sensasi rasa ringan dan menyegarkan, menjadikannya pilihan sempurna untuk dinikmati bersama secawan kopi atau teh panas.
Minuman di sini juga tak kalah hebatnya, Mitai Punch Pineapple memberika gabungan rasa tropika yang segar dan sitrus yang membangkitkan selera.

Tegukan pertama terus disambut kemanisan nanas yang juicy, diikuti sedikit rasa masam yang memberi efek refreshing di tekak.
Kafe ini mempunyai ruang yang luas dan bersih, sesuai untuk sesi ‘healing’ selepas seharian bekerja.
Lampu lembut, aroma kopi, dan bunyi kucing bermain di sekitar memberi suasana tenang yang jarang dapat dirasai di kafe biasa.

Untuk pertanyaan, hubungi 011-12785197.
Lokasi: Spring Spring Café, Garden, 61A, Jalan 20/7, Taman Paramount, 46300 Petaling Jaya, Selangor
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin (12 pm hingga 9 pm)