Sireh tawar aneka sajian tradisional, pengalaman makan dalam suasana elegan
DI bandar moden Cyberjaya, wujud sebuah restoran yang menyajikan hidangan tradisional Melayu dalam suasana penuh elegan.
Bagi mereka yang sudah pernah singgah makan di sini, pasti rasa berbaloi memandu ke Sireh kerana sajian Melayu yang dihidangkan cukup memuaskan selera.
Menu yang ditawarkan juga cukup bervariasi, membuatkan pelanggan rambang mata untuk memilih hidangan yang ingin dinikmati.
Melihat set ulam-ulaman segar yang digandingkan bersama sambal pedas, masin dan sedikit masam sudah cukup untuk membuatkan anda tidak sabar untuk menikmati hidangan utama.

Setiap lauk-pauk mempunyai rasa tersendiri dan antara yang menjadi pilihan pelanggan setiap kali mengunjungi Sireh ialah ayam balado.
Hidangan ini menampilkan ayam bersaiz sederhana yang disaluti sambal cili dikisar kasar dengan gabungan rasa pedas, sedikit manis dan berempah.
Menariknya, rasa sambal tidak terlalu menyengat menjadikan hidangan ini sesuai dinikmati oleh mereka yang kurang gemar makanan terlalu pedas.
Seterusnya, tenggiri kari nyonya turut mencuri perhatian dengan kuah yang pekat dan kaya dengan rasa rempah.
MENARIK DIBACA: Nasi campur bufet RM8 seorang... Pilih apa saja lauk nak makan, boleh tambah tanpa had
MENARIK DIBACA: Nasi linopot, jeruk tuhau dan ambuyat di tengah KL! Peluang 'kaki makan' nikmati sajian autentik Sabah
Uniknya, hidangan ini mempunyai sedikit rasa masam seakan-akan asam pedas yang menjadikan rasanya lebih menyegarkan.
Untuk pencinta makanan laut, udang sambal tumis pekat menghasilkan gabungan rasa pedas, manis dan sedikit berlemak juga cukup menyelerakan.
Pilihan sayur-sayuran di sini juga cukup banyak, namun satu yang membangkit selera tentunya bendi belacan rangup dan beraroma.
Beralih kepada minuman, satu pilihan unik dari segi rasa dan rupa ialah Seri Sireh Signature, iaitu jus yang menggabungkan daun sireh bersama limau.

Gabungan ini menghasilkan rasa masam dan menyegarkan dengan aroma herba tersendiri.
Tidak lengkap menikmati hidangan di restoran Melayu tanpa mencuba pencuci mulut tradisional seperti bubur pulut hitam.
Teksturnya pulut hitam yang lembut dan kuah santan berlemak memberikan rasa manis berkrim yang cukup menyenangkan sebagai penutup hidangan.
Secara keseluruhannya, Sireh menawarkan pengalaman menikmati sajian Melayu dengan pilihan lauk-pauk tradisional dalam suasana restoran yang lebih eksklusif, sesuai makan bersama keluarga atau rakan-rakan.
