Nasi linopot, jeruk tuhau dan ambuyat di tengah KL! Peluang 'kaki makan' nikmati sajian autentik Sabah
SELALUNYA kalau berkunjung ke restoran atau bufet bertemakan sajian asli Sabah, pasti ramai menganggap ia hanya akan dikunjungi oleh masyarakat dari negeri itu sahaja.
Ternyata tanggapan tersebut kurang tepat kerana bufet 'Flavour of Sabah Kaamatan' yang menyajikan aneka sajian tradisional Sabah berjaya menarik perhatian pencinta makanan dari seluruh Malaysia.
Bufet eksklusif di Kampung Kitchen, Ibis KLCC ini disediakan oleh barisan cef dari The Native Cafe yang diterbangkan khas dari Sabah sempena sambutan Pesta Kaamatan.
Aneka makanan autentik yang tersedia bukan sahaja mengubat kerinduan anak Sabah di ibu kota malah turut membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berkenalan dan mencuba sendiri keistimewaan sajian autentik negeri di bawah bayu.
Antara sajian istimewa yang ada di sini sudah tentulah nasi linopot yang dihasilkan daripada Beras Bario dan terkenal dengan kandungan kanji yang lebih rendah.

Selain itu, Daging Masak Tuhau Asam Pedas Sabah juga antara hidangan yang wajib dicuba kerana rasanya cukup berbeza dengan asam pedas di semenanjung.
Kuahnya mempunyai aroma tersenditi dengan rasa masam pedas yang cukup menyelerakan. Daging pula dimasak lembut dan sebati dengan rempah.
Sabah juga cukup terkenal dengan hidangan makanan lautnya, jadi tidak lengkap rasanya jika tidak menikmati ikan basung goreng yang menjadi antara menu popular masyarakat di negeri itu.
Jika ke sini pengunjung jangan lepaskan peluang menikmati ambuyat sepuas hati yang diperbuat daripada tepung sagu dan dimakan bersama sup pinasakan iaitu sup ikan masam.
MENARIK DIBACA: Sejarah Gardenia bermula di Sabah, teknik fermentasi dan 'rehat' rahsia roti lembut
MENARIK DIBACA: Kenapa mi goreng Sabah berbeza? Ini resipi asli untuk anda cuba
Bagi pencinta jeruk pula, Sabah sememangnya terkenal dengan pelbagai pilihan jeruk tradisional seperti jeruk tuhau dan jeruk bambangan.
Tuhau merupakan sejenis halia liar yang banyak ditemui di hutan Sabah dan mempunyai rasa serta aroma yang cukup kuat, sedikit pedas dan menyegarkan.
Kalau ada yang mahu mencuba hidangan lain pun tidak perlu risau kerana bufet ini menawarkan pelbagai pilihan lauk pauk, pencuci mulut serta pencuci mulut lain hingga rambang mata dibuatnya.
Lokasi: Kampung Kitchen, Ibis KLCC
Tempoh promosi: 17 Mei - 31 Mei 2026
Untuk tempahan, sila hubungi: 603-2778 3388