Viral aiskrim dipanggang tak cair, betul ke ada bahan berbahaya?
TULAR di media sosial rakaman video memaparkan seorang individu memanggang aiskrim yang dibeli di atas pemanggang.
Apa yang mengejutkan, aiskrim tersebut dilihat langsung tidak mencair dan bentuknya masih utuh.
“Ini aiskrim yang saya berikan kepada cucu saya. Ia dipanggang di atas gril, sepatutnya sudah mencair,” katanya dalam video tersebut.
Susulan itu, beberapa pengguna media sosial turut melakukan eksperimen dengan merendam aiskrim dalam air panas bagi melihat hasilnya.

Apa yang mencuri perhatian, aiskrim berkenaan didakwa masih mengekalkan bentuk asal sehingga menimbulkan persoalan mengenai kandungan bahan yang digunakan dalam pembuatannya.
Keadaan itu turut mencetuskan kebimbangan sesetengah netizen yang mempersoalkan sama ada aiskrim itu mengandungi bahan kimia tertentu sehingga hampir tidak cair.
Adakah aiskrim yang lambat mencair benar-benar menandakan kandungan bahannya berbahaya?
MENARIK DIBACA: Warga asing didakwa pengotor jual aiskrim tong cat, ramai mengaku kena tipu harga
MENARIK DIBACA: Viral aiskrim di Jepun tak mudah cair, orang ramai boleh ambil gambar sepuasnya
Menurut laporan BBC Future, ketahanan aiskrim daripada mencair boleh dipengaruhi oleh bahan penstabil dan komponen tertentu yang mempengaruhi strukturnya.
Aiskrim lazimnya dihasilkan daripada krim, gula dan bahan lain yang diproses dalam keadaan sejuk sambil dikacau bagi mengawal pembentukan kristal ais.
Pengeluar turut menggunakan bahan penstabil seperti carrageenan daripada rumpai laut dan guar gum daripada biji tumbuhan guar bagi membantu mengekalkan tekstur aiskrim semasa penyimpanan.
Laporan itu turut membincangkan kajian terhadap polifenol, termasuk asid tanik yang boleh berinteraksi dengan protein dalam krim lalu membentuk rangkaian yang membantu menghalang gumpalan lemak daripada bercantum.

Struktur tersebut boleh menjadikan aiskrim mampu bertahan dalam suhu tinggi.
Dalam eksperimen yang dilaporkan, kepekatan asid tanik yang lebih tinggi juga menghasilkan gel lebih kuat sehingga campuran krim mampu mengekalkan bentuknya.
Bagaimanapun, aiskrim yang lambat mencair atau kelihatan kenyal tidak semestinya mengandungi bahan kimia berbahaya.
Pengguna disarankan menyemak senarai ramuan pada label produk dan memastikan aiskrim disimpan dengan betul.
Keadaan fizikalnya sahaja tidak mencukupi untuk menentukan kandungan atau keselamatan produk tanpa pemeriksaan lanjut.