Croissant Pattaya pelik disaluti 'rambut' bergumpal, tapi ramai serbu kedai nak beli
DUNIA kulinari sememangnya tidak pernah ketandusan idea kreatif.
Ada sahaja peniaga yang sengaja mencipta menu unik bagi menarik perhatian pelanggan.
Terbaharu, tular di media sosial tentang Croissant Pattaya atau Croissant Mor Aoi (Moi) yang dihasilkan di sebuah kedai bakeri, Saiwan Bake House di Pattaya, Thailand.
Pastri yang menjadi fenomena di platform TikTok dan Instagram itu bukan disebabkan rasanya semata-mata, tetapi kerana penampilannya yang unik.

Croissant tersebut diletakkan 'inti' rumpai laut berwarna hitam menyerupai rambut bergumpal, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Perkataan 'Moi' pula adalah istilah slanga dalam bahasa Thai, menyebabkan pastri ini sering dijadikan bahan lawak pencipta kandungan dan pelancong yang berkunjung ke Pattaya.
Di sebalik rupanya yang unik, Croissant Pattaya sebenarnya dikatakan menawarkan rasa yang enak.
MENARIK DIBACA: 'Trik' ayam goreng sedap maksimum... Perap ringkas, tambah bawang putih ketuk
MENARIK DIBACA: Rahsia orang Jepun kurus walau makan nasi 3 kali sehari, kadar obesiti antara terendah di dunia
Croissant dengan tekstur rangup dan berlapis itu diisi dengan krim kastad yang lembut serta manis.
Lapisan serunding rumpai laut pula memberikan gabungan rasa masin dan manis, menjadikan setiap gigitan begitu menggembirakan.
Keunikan gabungan rasa manis kastad dan aroma rumpai laut itulah yang membuatkan ramai pengunjung sanggup beratur semata-mata mahu mencubanya sendiri.

Untuk harganya pula, pastri ini dijual sekitar 70 Baht (RM9.90) sebiji..
Walaupun harganya sedikit tinggi berbanding croissant biasa, ramai pelancong menganggap ia berbaloi kerana bukan sahaja dapat menikmati rasanya, malah memperoleh pengalaman mencuba salah satu makanan unik yang ada di Pattaya.
Setakat ini, Croissant Pattaya masih belum memasuki pasaran komersial Malaysia secara rasmi dan belum dijual secara meluas di mana-mana rangkaian bakeri tempatan.