Jaya Grocer komited perkukuh keyakinan pembeli, produk JS Meats kini peroleh sijil halal Jakim
JAYA Grocer menerusi jenama produk label persendiriannya, Jaya Grocer Selection (JS Brand) kini mempunyai pensijilan halal secara rasmi.
Pensijilan ini sekali gus memperkukuhkan jaminan halal terhadap seluruh aspek bekalan daging JS Meats di Dapur Pusat Jaya Grocer, diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jaya Grocer, Daniel Teng berkata jaminan halal menjadi sebahagian daripada perjalanan JS Meats sejak awal, bermula dengan amalan mendapatkan bekalan daging daripada pembekal yang diperakui halal.

"Pensijilan ini adalah langkah seterusnya dalam memperkukuh jaminan halal dengan memperluaskan operasi pemprosesan dan pengendalian daging kami sendiri.
“Langkah ini bertujuan meningkatkan ketelusan dan keyakinan bagi pelanggan mengenai pemprosesan produk sebelum sampai ke rak jualan, sementara kami terus mengekalkan kualiti dan standard diharapkan mereka," katanya pada Majlis Pelancaran Pensijilan Halal JS Meats di Jaya Grocer KL East Mall, Selasa.
Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Advokasi Hab Halal Jakim, Imran Abd Rahman; Timbalan CEO Jaya Grocer, Joseph Teoh; Pengarah Rantaian Bekalan dan Pasaran Segar Jaya Grocer, Kimberly Xavier dan Ketua Operasi, Perolehan dan Pengeluaran Jaya Grocer, Azari Nazim.
Pensijilan ini diperoleh selepas melalui tempoh persediaan selama 12 bulan, termasuk semakan proses dan penyelarasan dengan keperluan halal terpakai bagi Dapur Pusat Jaya Grocer.
MENARIK DIBACA: Bazar Kopi Ber-Kuali-Ti khas untuk 'kaki kopi', peminat matcha dan geng suka makan!
MENARIK DIBACA: Pertandingan memasak anjuran Subi cari cef cilik sambil eratkan hubungan ibu bapa dan anak
Operasi berkaitan merangkumi proses penyediaan, pemotongan, pengendalian dan pembungkusan produk JS Meats sebelum berada di pasaran.
Dengan lebih daripada 150 Unit Penyimpanan Stok (SKU) merangkumi stik, sosej, patty dan pelbagai pilihan daging lain, JS Meats antara rangkaian produk utama di bawah Jenama JS boleh didapati di 63 cawangan Jaya Grocer di seluruh negara.
Jaya Grocer turut memanfaatkan kepakaran pasukannya dalam pengendalian daging, termasuk Master Butcher dan pasukan khusus Daging Halal.
Bagi meraikan pencapaian pensijilan halal ini, promosi istimewa turut ditawarkan bagi produk JS Meats terpilih bermula 13 Oktober 2026 hingga 18 Oktober 2026 di cawangan Jaya Grocer seluruh negara, sementara stok masih ada.

Antara tawaran tersedia adalah JS Meats Japan A5 Wagyu Steak (180g) pada harga RM79.90 (harga biasa RM107.90), serta Australia Grain Fed Topside Stir Fry (250g) pada harga RM17.90 (harga biasa RM20.90).
Pelanggan juga boleh menikmati diskaun 30 peratus jika membeli sejumlah empat pek daripada pelbagai pilihan patty JS Meats, termasuk daging ayam, kambing, lembu dan wagyu.