Penat bergelut urus anak, isteri cemburu hidup suami lebih relaks- "Saya pun nak makan dengan tenang"
KEBIASAANNYA waktu sedang makanlah anak-anak tiba-tiba jadi terlebih aktif sampai ibu bapa pun hilang selera nak habiskan makanan dengan tenang.
Ada yang baru nak suap makanan, anak mula menangis, minta didukung atau buat perangai sampai ibu terpaksa bangun dari meja makan.
Itulah luahan seorang pengguna Threads yang mengakui iri hati melihat suaminya boleh makan dengan aman tanpa perlu bersusah-payah menguruskan anak.
Menurut wanita itu, dia sedar perasaan tersebut tidak sepatutnya wujud namun disebabkan terlalu penat menguruskan anak membuatkan emosinya terganggu.

“Saya tahu perasaan ni tak bagus tapi saya 'jealous' dengan suami saya, dia dapat makan dengan tenang. Penat.
“Saya sayang anak cuma kadang saya nak makan dengan tenang, sebelum, semasa dan selepas. Suami siap boleh makan sambil tengok 'movie', makan 'slow',” luahnya.
Tambahnya lagi, setiap kali waktu makan dia terpaksa menghadap pelbagai kerenah anak termasuk mendukungnya sambil menyuap makanan dengan tergesa-gesa.
Malah ada masanya dia langsung tidak sempat menghabiskan makanan kerana perlu mengemas meja, memandikan anak dan menyiapkan keperluan anak-anak lain.
MENARIK DIBACA: Ramai ibu dihantui rasa bersalah beri anak makanan 'frozen', doktor beri penjelasan
“Saya ni makan sambil dukung anak menangis, makan laju 'even' kadang tak sempat habiskan, kemas meja lagi, lepas tu terus kena mandikan anak, bergelut nak siapkan anak lagi.
“Pastu dalam keadaan perut senak nak kena susukan anak lagi,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memahami situasi dilalui wanita itu kerana pernah melalui pengalaman sama selepas berkahwin dan mempunyai anak kecil.
Ada yang menasihatkannya supaya belajar mendahulukan diri sendiri terutama ketika makan bagi mengelakkan diri rasa tertekan.

“Nak makan dengan tenang kena pekakkan telinga. Makan je dulu, 'take time' sambil-sambil tu cakap dengan dia ibu nak makan kejap," kata seorang netizen.
Selain itu, ada juga yang meminta wanita tersebut berkongsi tanggungjawab menjaga anak bersama suami agar tidak terlalu terbeban seorang diri.
“Bagi je anak dekat dia. Lama-lama dia tahu la nak ambil anak tu.
“Semua ibu situasi sama 'even' anak satu, dua atau tiga. Kalau saya memang terus luah dengan 'husband',” kata seorang lagi netizen.