'Terbang' RM2,000, individu terkejut kena kompaun berniaga dari rumah - "Bau ayam goreng masuk rumah jiran"
SEORANG peniaga terkejut dikenakan kompaun RM2,000 oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana menjalankan perniagaan makanan dari rumah dengan semua urusan jual beli dilakukan dalam talian.
Menerusi perkongsian di Threads, individu berkenaan berkata dia tidak membuka operasi perniagaan secara fizikal atau menerima pelanggan di rumah sebaliknya hanya menerima tempahan melalui platform penghantaran makanan.
Menurutnya, makanan yang disediakan akan diambil oleh rider sebelum diserahkan kepada pelanggan tanpa sebarang urusan dilakukan di kediamannya.
"Aku nak cerita sikit pengalaman yang baru jadi dekat aku. Aku kena kompaun RM2,000 sebab berniaga dari rumah dan yang buat lagi terkejut adalah tak pernah buka walk-in.
"Semua tempahan hanya melalui order online dan pelanggan tak datang rumah. Rider datang ambil lepas tu terus hantar.

"Masa pegawai DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) datang aku bagi kerjasama penuh. Apa yang dimaklumkan kepada aku, mereka datang selepas menerima aduan berkaitan bau ayam goreng yang masuk ke rumah jiran," katanya.
Dia bagaimanapun meluahkan persoalan apabila bau masakan dijadikan isu sedangkan memasak di rumah adalah satu perkara biasa.
"Tapi aku terfikir juga kalau bau ayam goreng pun boleh jadi aduan, habis tu setiap rumah yang goreng ayam waktu tengah hari macam mana? Bau masakan memang akan keluar bila orang memasak. Bezanya cuma aku jual makanan," katanya.
Menurutnya lagi, dia faham jika sesuatu perniagaan menyebabkan gangguan seperti bunyi bising, kesesakan atau pelanggan keluar masuk rumah, namun situasi berkenaan tidak berlaku dalam operasinya.
MENARIK DIBACA: Rahsia orang Jepun kurus walau makan nasi 3 kali sehari, kadar obesiti antara terendah di dunia
MENARIK DIBACA: Murid darjah 1 'kantoi' curi makanan cikgu! Bukan untuk makan, tapi jual kepada kawan - "Sedih tengok budak sekarang"
"Aku faham kalau bunyi bising, parking sampai ganggu jalan, sampah bersepah atau pelanggan keluar masuk rumah memang patut diambil tindakan. Tapi dalam kes aku tak ada walk-in customer dan semua order online. Rider datang ambil terus jalan," katanya.
Dia mengakui jumlah kompaun dikenakan sebanyak RM2,000 bukanlah kecil bagi individu sepertinya dan menjejaskan modal perniagaan.

"RM2,000 memang bukan sikit. Untuk bisnes kecil, itu boleh jadi modal beli stok beberapa minggu. Tapi aku anggap ini sebagai harga sebuah pengalaman," katanya.
Dalam masa sama, dia menasihatkan peniaga lain supaya menyemak peraturan PBT sebelum memulakan operasi dari rumah.
"Thread ni bukan nak salahkan sesiapa, cuma nak kongsi supaya peniaga kecil macam aku lebih peka. Kalau korang berniaga dari rumah walaupun hanya melalui online atau delivery sendiri, pastikan semak dulu syarat PBT kawasan masing-masing jangan jadi macam aku," katanya.
Sementara itu, ruangan komen turut dihujani pelbagai reaksi netizen dan ada yang mempertikaikan tindakan penguatkuasaan terhadap peniaga dari rumah.
"Niaga kat rumah salah tepi jalan pun salah, memang nak kena sewa kedai lot ke?
"Weh jiran aku pun niaga dah report tak ada pun saman apa fasal ni laju je.
"Akak ambil lesen then continue masak. Tingkap buka luas-luas biar mereka bau, itu pun nak mengadu memang tak dilayan," antara komen netizen.
Bagaimanapun, semakan terhadap Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan DBKL mendapati mana-mana individu yang ingin menggunakan sesuatu bangunan atau mana-mana bahagian bangunan sebagai petempatan makanan perlu terlebih dahulu memperoleh kebenaran perancangan jika berkenaan.
Undang-undang kecil itu turut memperuntukkan bahawa mana-mana individu yang menggunakan premis sebagai petempatan makanan tanpa memenuhi syarat berkenaan melakukan suatu kesalahan.
Permohonan lesen pula hendaklah dibuat mengikut bentuk dan kaedah yang ditetapkan oleh Datuk Bandar, dan setiap permohonan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.