Penjelasan punca kejadian isi ayam bertukar hijau... Nampak geli tapi boleh dimakan!
SEORANG wanita berkongsi kejadian mengejutkan apabila bahagian dalam isi dada ayam yang direbus bertukar kepada warna hijau selepas dipotong.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita itu memaklumkan dia membeli dada ayam itu di sebuah kedai sebelum merebusnya seperti biasa.
Bagaimanapun, sebaik sahaja ayam tersebut dipotong, dia terkejut melihat bahagian dalam isinya berwarna hijau.
"Semalam saya beli dada ayam dekat kedai. Lepas tu rebus keluarkan untuk nak potong. Sekali bila potong, bahagian dalam isi dia warna hijau, benda apa pula ni?" soalnya, musykil.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen, dengan ada yang mendakwa keadaan berkenaan dikenali sebagai deep pectoral myopathy (DPM) atau green muscle disease.
Keadaan itu berlaku apabila bekalan darah ke otot dada ayam terganggu sehingga menyebabkan sebahagian tisu otot mengalami nekrosis (tisu mati) dan bertukar warna kehijauan.

"Hai, ini deep pectoral myopathy. Ayam (bahagian) yang tak berwarna hijau masih selamat untuk dimakan dan isi bahagian tu (hijau) sebenarnya juga boleh dimakan tapi memang nampak geli.
"Ia berlaku pada ayam yang dibesarkan dan diproses dengan cepat. Biasanya dikaitkan dengan ayam komersial besar-besaran dan sebenarnya masalah aliran darah dalam bahagian dada ayam.
"Green muscle disease. Ia tak berbahaya dan boleh saja dipotong buang tapi ayam tu dah jadi kurang sedap sebab dah direbus tanpa letak apa-apa perasa," antara komen netizen.
Seorang warga maya yang mendakwa dirinya penternak ayam berkata keadaan tersebut lebih kerap berlaku pada ayam pedaging (broiler) yang membesar dengan cepat untuk diambil dagingnya.
Jelasnya, pertumbuhan tisu otot ayam lebih cepat daripada sokongan saluran darahnya, justeru daging hijau itu sebenarnya adalah tisu yang mati (nekrotik).
MENARIK DIBACA: Singgang tenggiri mudah nak buat, enak tak terkata! 'Confirm' jadi walau tak pandai masak
MENARIK DIBACA: Pemuda dedah bahaya cili kering berdebu, berkulat! Jangan 'termakan' pujuk tauke kedai
Katanya lagi keadaan ini biasanya berlaku pada ayam jenis cornish cross broiler yang membesar dalam masa singkat.
"Saya bela ayam jenis yang sama secara bebas di luar dan bagi ia membesar lebih perlahan, jadi jarang nampak masalah ini. Saya tak pernah nampak perkara ini pada ayam jenis 'freedom ranger' yang lebih aktif dan mengambil masa lebih lama untuk membesar.
"Potong saja bahagian yang hijau tu sebab bahagian daging lain masih selamat dimakan.
"Oh dan kalau boleh belilah daripada penternak tempatan yang bela ayam secara bebas atau di kawasan rumput terbuka!" jelasnya.
Dalam pada itu, terdapat juga warganet yang mengaitkan dan mendakwa ayam yang disembelih secara halal tidak mengalami masalah sama.
"Ayam halal iaitu ayam yang disembelih dengan betul takkan ada masalah macam ni.
"Sebab itu halal penting. Sebab halal bermaksud bersih dan bebas daripada kekotoran," komen netizen lagi.