Anda 'FOMO' beli pinggan mangkuk estetik? Fikir juga risiko kesihatan
TREND menggunakan set pinggan mangkuk berwarna pastel dengan rekaan bermotifkan bunga dan sayur kini semakin mendapat tempat di hati penggemar barangan dapur cantik dan estetik.
Bukan setakat rekaan menarik, malah harganya yang mesra poket serta kualiti bahan digunakan membuatkan ramai tertarik untuk membelinya.
Seorang pengguna Threads teruja selepas menemukan set pinggan berkenaan pada harga bawah RM10.
“FOMO ke ni! Jumpa ni, harga pun murah terus grab size medium and small,” katanya.

Bagaimanapun, perkongsian mengundang komen seorang netizen yang menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli pinggan yang mempunyai cat atau kemasan (glaze) pada permukaannya.
Menurutnya, sesetengah barangan seramik boleh mengandungi logam berat seperti plumbum dan kadmium yang berisiko meresap ke dalam makanan sekiranya produk tidak dibuat atau diuji dengan betul.
“Hati-hati dengan penggunaan pinggan yang ada cat atau glaze pada permukaannya, lebih-lebih lagi dengan harga sebegitu.
“Kadang-kadang ia mengandungi heavy metal yang membahayakan kesihatan,” komen netizen tersebut.
MENARIK DIBACA: Pinggan mangkuk kubis 'strawberry matcha' jadi kegilaan... Estetik, geram tengok!
MENARIK DIBACA: Rumah terbuka Noor Nabila 'next level'! Pinggan plastik, sudu 'emas' beli dari luar negara
Menurut Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA), pigmen berasaskan plumbum dan kadmium digunakan pada sesetengah barangkan tembikar dan seramik.
Bagaimanapun, ia perlu melalui ujian terlebih dahulu bagi memastikan kandungannya mengikut piawaian ditetapkan.
Jadi, bukan bermaksud semua pinggan berwarna-warni atau murah itu berbahaya.
Bagaimanapun, pengguna perlu lebih peka terhadap asal-usul produk, label, kegunaan yang dinyatakan pengeluar serta kualiti kemasan sebelum menggunakannya sebagai pinggan harian.

Berikut 7 perkara perlu dielakkan sekiranya menggunakan pinggan berwarna-warni:-
- Elak meletakkan masakan yang masih panas di atasnya.
- Elak meletakkan masakan berasid seperti tomato, limau, teh, kopi dan jus buah di atasnya.
- Elak basuh dengan sabun pencuci pinggan yang 'kuat'.
- Elak sental dengan berus dawai kerana corak boleh tertanggal lalu meningkatkan risiko kebocoran plumbum.
- Elak panaskan atau masukkan ke dalam ketuhar gelombang mikro.
- Elak simpan masakan terlalu lama di atasnya.
- Elak menghidangkan masakan yang beralaskan peralatan ini kepada golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan ibu hamil.