Buah tinggi nutrisi, terbaharu khasiat kulit rambutan tarik perhatian kumpulan penyelidik
TIBA sahaja musim rambutan, memang susah nak tolak buah manis ini lebih-lebih lagi apabila kebanyakan gerai dan pasar menjualnya pada harga rendah.
Selain rasa menyegarkan, rambutan juga mempunyai beberapa nutrien serta sebatian tumbuhan yang menarik perhatian penyelidik.
Menurut kajian makmal, beberapa sebatian dalam rambutan khususnya pada bahagian kulit menunjukkan aktiviti antioksidan dan anti-radang.
Antara komponen banyak dikaji ialah geraniin, corilagin dan asid elagik.
Jom ketahui fakta menarik tentang kelebihan rambutan!

1. Sumber vitamin C
Rambutan boleh menjadi salah satu sumber vitamin C dalam pemakanan harian. Vitamin ini penting untuk fungsi sistem imun, pembentukan kolagen dan membantu melindungi sel daripada kerosakan akibat radikal bebas.
Kajian USDA Agricultural Research Service (USDA-ARS) terhadap rambutan ditanam di Hawaii mendapati buah itu mengandungi vitamin C, selain mineral seperti tembaga dan mangan.
Jumlah nutrien bagaimanapun boleh berbeza mengikut varieti, keadaan penanaman dan tahap kematangan buah.
2. Kulit rambutan kaya geraniin
Bahagian selama ini dianggap sisa sebenarnya mempunyai komponen menarik perhatian penyelidik.
Kajian penyelidik Kasetsart University, Thailand mendapati kulit rambutan mengandungi ellagitannin seperti geraniin dan corilagin, selain asid gallic dan asid ellagic.
Kajian tersebut mendapati geraniin antara penyumbang utama kepada aktiviti pemerangkapan radikal bebas dalam ekstrak kulit rambutan.
3. Potensi melawan tekanan oksidatif
Kandungan polifenol dalam kulit rambutan turut menjadi tumpuan kerana sifat antioksidannya.
Satu lagi kajian terhadap ekstrak kulit rambutan mendapati geraniin, asid elagik, asid shikimik dan corilagin antara sebatian aktif penting untuk aktiviti pemerangkapan radikal bebas.
MENARIK DIBACA: Tak sangka sedap! Wanita cipta minuman smoothie kacang hijau, siap beri tip cepat empuk
MENARIK DIBACA: [V] Dikecam salah sebut ‘roti canai’, peserta MasterChef kelahiran Malaysia mohon maaf
4. Potensi berkaitan kesihatan hati dan metabolisme
Geraniin terdapat dalam kulit rambutan turut dikaji kerana mempunyai pelbagai aktiviti biologi.
Beberapa kajian praklinikal terhadap sebatian dan ekstrak rambutan menunjukkan potensi dalam aspek berkaitan metabolisme dan perlindungan sel.

5. Turut dikaji berkaitan sel kanser
Kulit rambutan juga pernah dikaji dalam penyelidikan berkaitan sel kanser kerana kandungan polifenolnya.
Beberapa kajian praklinikal menunjukkan ekstrak atau sebatian daripada kulit rambutan mempunyai aktiviti terhadap sel tertentu dalam ujian makmal.
Bagaimanapun, jangan anggap rambutan sebagai pengganti ubat memandangkan bukti mengenai manfaat terapeutik kulit rambutan masih berada pada peringkat praklinikal.