Air kelapa banyak khasiat, menyegarkan! Ketahui risiko jika minum berlebih-lebihan
AIR kelapa memang baik untuk kesihatan dan kaya dengan elektrolit, tetapi kalau diminum berlebihan ia boleh membawa kesan kurang baik kepada tubuh.
Menurut laporan Detik,com, di sebalik kesegaran air kelapa, terdapat beberapa mineral penting seperti kalium, natrium, magnesium dan fosforus yang membantu menyokong keseimbangan cecair serta elektrolit dalam badan.
Tidak hairanlah air kelapa sering menjadi pilihan ketika cuaca panas atau selepas melakukan aktiviti fizikal kerana ia membantu menggantikan sebahagian cecair dan elektrolit yang hilang.

Bagaimanapun, pengambilannya tetap perlu dikawal mengikut keperluan tubuh kerana minum air kelapa dalam kuantiti banyak tidak semestinya lebih baik.
Setiap individu mempunyai keperluan cecair yang berbeza-beza seperti panduan berikut:
- Dewasa: Minum sekitar 250-500ml atau satu hingga dua gelas sehari sudah memadai.
- Kanak-kanak: Minum sekitar 100-200ml atau setengah hingga satu gelas sehari.
Jika kalium dalam air kelapa diambil berlebihan berpotensi meningkatkan risiko hyperkalemia terutama untuk individu dengan masalah buah pinggang, iaitu keadaan apabila paras kalium dalam darah menjadi terlalu tinggi.
MENARIK DIBACA: Kelapa tampuk merah dipercayai banyak kelebihan, baik untuk pesakit kanser jalani kemoterapi
MENARIK DIBACA: Ketahui fakta menarik kelapa, dari mana datangnya air dalam buah?
Apabila buah pinggang tidak dapat membuang lebihan kalium dengan baik, mineral tersebut boleh terkumpul dalam darah.
Antara gejala yang boleh berlaku termasuklah rasa sesak, keletihan, lemah otot, rasa mual dan kebas atau rasa berdenyut pada anggota badan.
Dalam keadaan yang lebih serius, paras kalium yang terlalu tinggi juga boleh menjejaskan fungsi jantung.
Selain itu, pengambilan air kelapa dalam jumlah yang banyak pada satu-satu masa juga boleh menyebabkan perut terasa penuh, kembung atau tidak selesa bagi sesetengah individu.