Sayur balut daun pisang kekal segar dalam peti sejuk, ini cara simpan disarankan
SAKIT hati kalau tengok sayur yang dibeli cepat layu dan busuk, lebih-lebih lagi apabila belum sempat digunakan.
Seorang pengguna Threads berkongsi petua menyimpan sayur menggunakan daun pisang yang biasa diamalkan penduduk kampung dan peniaga di pasar Thailand.
Menurut perkongsiannya, daun pisang mempunyai sebatian semula jadi seperti polifenol, flavonoid, tanin dan saponin yang dikaitkan dengan aktiviti antimikrob.
"Saya baru tahu sains di sebalik daun pisang buat sayur tahan lagi lama. Selalu tengok orang kampung dan pasar di Thailand balut sayur pakai daun pisang.

"Rupanya daun pisang ada antimicrobial function semula jadi, which is polyphenols, flavonoids, tannins dan saponins. Sebab tu sayur daun, cili tomato dan lain-lain boleh tahan lama berminggu-minggu," kongsinya.
Berikut empat cara menyimpan stok sayur menggunakan daun pisang:
1. Tak perlu basuh sayur
Sayur yang hendak disimpan tidak perlu dibasuh terlebih dahulu, pastikan permukaannya kering sebelum dibungkus. Daun pisang digunakan juga perlu dilap sehingga kering.
Kelembapan berlebihan boleh mempercepatkan kerosakan sesetengah sayur. Basuh sayur dengan air bersih hanya sebelum digunakan dan buang bahagian yang rosak sebelum disimpan.
MENARIK DIBACA: Amal minum air cengkih dan bawang putih... Badan rasa ringan, lebih bertenaga
MENARIK DIBACA: Buat 'masker' guna madu, telur bantu remajakan kulit wajah
2. Simpan beberapa jenis sayur dalam satu bekas
Hampir semua sayur boleh disimpan bersama dalam bekas yang dibalut dengan daun pisang, kecuali halia, lengkuas dan kunyit yang mana ketiga-tiga bahan ini perlu diasingkan daripada sayur lain.
3. Simpan lebihan daun pisang dalam peti sejuk
Daun pisang tidak digunakan boleh disimpan untuk kegunaan seterusnya. Rendam dahulu daun dalam air selama lima minit, kemudian dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam plastik sebelum disimpan di dalam ruang sejuk peti sejuk.
Pastikan daun tidak disimpan dalam keadaan terlalu basah. Periksa juga sama ada terdapat tanda kulat, lendir atau bau tidak menyenangkan sebelum menggunakannya semula.

4. Gantikan daun pisang apabila mula lembik
Daun pisang digunakan untuk membungkus sayur perlu diperiksa dari semasa ke semasa. Jika daun mula lembik, layu atau menunjukkan tanda kerosakan, gantikan dengan daun pisang baharu.
Sayur disimpan juga perlu diperiksa secara berkala.
Buang sayur berlendir, berkulat atau berbau luar biasa dan jangan bergantung pada daun pisang semata-mata untuk memastikan sayur kekal segar.
Petua menggunakan daun pisang ini boleh dicuba sebagai alternatif menyimpan stok sayur di rumah.
Pastikan sayur disimpan pada suhu sesuai, gunakan bekas bersih dan elakkan kelembapan berlebihan supaya lebih tahan lama.
