Jenama kopi sedap dibuat 'cold brew'... Kos lebih murah, rasa tetap 'kaw'
DALAM pada kita berjimat, ada yang tidak mengenepikan cita rasa seperti mana peminat kopi tegar yang mempunyai indikator sendiri apabila mahu minum minuman ini.
Lazimnya kopi premium atau berkuaiti tinggi harganya lebih tinggi, justeru ramai mula mencari alternatif termasuklah menyediakan minuman kegemaran mereka sendiri tanpa perlu berbelanja besar atau mengorbankan selera.
Itulah yang dilakukan seorang pengguna Threads apabila dia cuba menggunakan kopi segera untuk menghasilkan cold brew sendiri.

Menurutnya, cara ini menjimatkan perbelanjaan membeli biji kopi selain dia tidak perlu bersusah payah mengisar (grind) kopi sendiri.
"Malam ni aku nak rendam kopi Kapal Api, lepas tu nak simpan dalam fridge.
"Kalau esok jadi cold brew, aku dah save duit banyak gila dari beli beans, kena grind sendiri," katanya.
MENARIK DIBACA: Bercuti ke Vietnam jangan lupa cuba kopi belacan, siap ada 'topping' tuna kering
MENARIK DIBACA: Gelisah jika tak minum, anda sebenarnya ketagih kopi atau gula? Semak fakta ini
Hantaran tersebut menarik perhatian ramai, malah ada yang turut berkongsi cadangan jenama kopi lain yang sesuai digunakan untuk menghasilkan minuman berkenaan.
"Saya cadangkan 2 in1 Hang Tuah paket biru, enam uncang untuk satu liter air kalau nak buat cold brew. Simpan peti ais 12 jam, ini 'kaw' robustanya
"Hang Tuah, Che'Nah, Moccona sesuai untuk cold brew. Moccona tu bancuh terus dengan air suhu bilik, kemudian sejukkan.
"Kalau suka kopi yang rasa lemak-lemak, boleh cuba buat cold brew kopi Tenom. Beli yang uncang tu je. Esoknya letak susu dengan ais," antara cadangan netizen.

Untuk info, cold brew merupakan kaedah penyediaan kopi menggunakan air sejuk atau suhu bilik yang direndam dalam tempoh tertentu, biasanya antara 12 hingga 24 jam.
Berbeza dengan kopi biasa yang dibancuh menggunakan air panas, teknik ini menghasilkan minuman kopi yang lebih lembut dan kurang berasid bergantung pada jenis biji kopi serta tempoh rendaman.
Selepas selesai direndam, kopi perlu ditapis sebelum dinikmati bersama ais, susu atau bahan tambahan lain mengikut cita rasa masing-masing.
