Cef kongsi trik jika telur, 5 bahan asas lain untuk 'baking' habis! Tak perlu keluar beli
NAK keluar semata-mata untuk beli satu bahan untuk membuat kek atau pastri sememangnya terasa leceh.
Sebenarnya, ada beberapa bahan membuat kek dan pastri yang boleh digantikan dengan campuran bahan lain.
Cara ini bukan sahaja memudahkan urusan di dapur, malah membantu mengurangkan pembaziran dan mengelakkan bahan dibeli hanya digunakan sekali.
Di Threads, seorang cef dikenali sebagai Chef Aria, berkongsi tujuh tip bagi menggantikan bahan baking yang kehabisan stok di dapur dengan sukatan mudah untuk diikuti.

Berikut tujuh tip boleh dijadikan panduan ketika membuat kek dan pastri di rumah.
1. Gula putih dampur sirap tebu, pengganti gula perang
Sekiranya kehabisan gula perang boleh gantikan dengan gula pasir dan sirap tebu.
Caranya campurkan satu cawan gula pasir dengan satu sudu besar sirap tebu.
Jika mahukan rona gula perang gelap, campurkan satu cawan gula pasir dengan dua sudu besar sirap tebu. Gaul sehingga kedua-dua bahan sebati dan warna gula kelihatan sekata.
2. Tiada 'buttermilk', gunakan susu dan jus lemon
Pengganti ringkas bahan ini adalah menerusi campuran susu dan jus lemon atau cuka.
Caranya, sediakan satu cawan susu penuh krim, tetapi kurangkan sedikit daripada sukatan penuh kemudian tambahkan satu sudu besar jus lemon atau cuka. Biarkan selama lima hingga 10 minit sebelum digunakan.
MENARIK DIBACA: Bubur sumsum nikmat makan dengan gula merah, senang sangat cara buatnya!
MENARIK DIBACA: Aneka pilihan bubur tradisional Melayu... Dijual panas-panas RM5 jer sebekas!
3. Tiada gula aising, kisar gula pasir dan tepung jagung.
Langkah penyediaan sangat mudah, iaitu dengan menyediakan satu cawan gula pasir dan tambahkan satu sudu besar tepung jagung. Kisar sehingga campuran menjadi halus seperti serbuk.
4. Tiada telur, cuba puri epal, pisang atau yogurt
Antara pilihan dikongsikan untuk menggantikan telur adalah dengan mengadunkan suku cawan puri epal tanpa gula tambahan, atau setengah biji pisang dilenyek hingga hancur dan 1/4 cawan yogurt asli.

5. Campuran tepung gandum dan tepung jagung, ganti tepung kek
Jika kehabisan boleh sediakan pengganti dengan sukatan satu cawan tepung gandum dan dua sudu besar tepung jagung.
Ayak campuran beberapa kali sehingga sebati.
6. Tiada serbuk penaik, guna soda bikarbonat dan krim tartar
Serbuk penaik membantu adunan mengembang ketika dibakar. Gabungkan soda bikarbonat dan krim tartar sebagai alternatif.
Caranya, campurkan suku sudu kecil soda bikarbonat, setengah sudu kecil krim tartar. Gabungan dua bahan ini menggantikan kira-kira satu sudu kecil serbuk penaik.
