Masak pun boleh dapat pahala, ini 5 adab di dapur menurut Islam
RAMAI mungkin tidak sedar aktiviti memasak juga merupakan satu ibadah dalam agama Islam selagi dilakukan dengan niat yang betul dan mematuhi syarak.
Nabi Muhammad SAW bersabda:
“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin, semua urusannya adalah baik baginya... Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur... jika ditimpa kesusahan dan dia bersabar, maka itu baik baginya.” (Riwayat Muslim)
Maka, setiap kerja harian termasuk memasak boleh menjadi ladang pahala jika disertai dengan niat ikhlas dan adab yang betul.
Berikut adalah beberapa adab memasak dalam Islam yang boleh diamalkan:

1. Berwuduk sebelum memasak
Ambillah wuduk sebelum ke dapur, kerana ia bukan sahaja menyucikan diri malah membantu kita lebih tenang dan fokus.
Jika mampu, lakukan juga solat sunat dua rakaat sebelum memulakan urusan memasak.

2. Baca doa ketika masuk dapur
Amalkan doa ini ketika melangkah ke dapur:
"Rabbanaa aatinaa mil ladunka rahmatan wa hayyi’ lanaa min amrinaa rasyadaa."
Maksudnya: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu dan berilah petunjuk dalam urusan kami.”
Doa ini memberi ketenangan serta memohon keberkatan dalam setiap hasil masakan kita.

3. Mulakan dengan Bismillah
Segala kerja yang baik dalam Islam digalakkan dimulakan dengan lafaz bismillah.
“Setiap perkara penting yang tidak dimulakan dengan ‘bismillah’, maka ia kurang keberkatan.” (Hadis Riwayat Al-Khatib)

4. Berselawat sambil mengacau makanan
Ketika mengacau makanan, selawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW.
Ia bukan sahaja mendatangkan pahala tetapi diharap dapat menyebarkan ketenangan dan kasih sayang dalam makanan tersebut.

5. Kacau makanan dari kanan ke kiri
Amalan ini mungkin kelihatan remeh, namun ia selari dengan sunnah Rasulullah SAW yang mengajar kita untuk memulakan sesuatu dari bahagian kanan dalam urusan harian.