Dapur kaca nampak moden tapi datang dengan risiko... Ini panduan elak kejadian tak diingini
PENGGUNAAN dapur kaca semakin mendapat tempat di hati pengguna kerana reka bentuknya yang moden dan kemas.
Namun begitu, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan malah pernah berlaku beberapa insiden seperti kacanya meletup ketika sedang memasak sehingga menyebabkan kecederaan.
Penggunaan dapur jenis ini memerlukan penjagaan rapi agar ia kekal selamat digunakan.
Berikut adalah lima tip keselamatan yang penting untuk diikuti jika menggunakan dapur kaca di rumah.

1. Pastikan pemasangan hos gas ketat
Sambungan gas longgar atau tidak dipasang dengan betul boleh menyebabkan kebocoran gas yang amat berbahaya dan berisiko tinggi menyebabkan letupan atau kebakaran.
MENARIK DIBACA: Memang sedap dibuat goreng sumbat sambal... Penghidap gout kena hati-hati, ikan cencaru boleh jadi ‘silent killer’
MENARIK DIBACA: Bukan setakat sedap buat colek, kena cuba kerabu buah limau gajah
Pastikan regulator gas dipasang ketat pada kepala tong gas dan hos gas tidak retak, keras atau bocor.
Pemeriksaan berkala adalah penting dan sebaiknya pemasangan awal dilakukan oleh juruteknik bertauliah

2. Hindari alatan bersaiz besar dan berat
Penggunaan periuk atau kuali yang terlalu besar, berat atau tidak sepadan dengan saiz tungku boleh memberi tekanan berlebihan pada permukaan kaca.
Selain itu, menggerakkan alatan memasak ke depan dan ke belakang di atas pembakar boleh menyebabkan calar, retakan halus atau dalam kes tertentu seperti keretakan pada kaca.
Gunakan alatan memasak ringan, berdasar rata dan sesuai dengan saiz tungku untuk mengekalkan keselamatan dan ketahanan dapur gas kaca.

3. Jangan tinggalkan api menyala
Elakkan meninggalkan dapur ketika api masih menyala.
Walaupun nampak selamat, tumpahan minyak atau makanan boleh menyebabkan kebakaran jika tidak diawasi.
Sentiasa berada berhampiran ketika memasak untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

4. Bersihkan permukaan
Dapur gas kaca mudah terkena kesan minyak, makanan dan habuk.
Bersihkan permukaan kaca secara berkala menggunakan kain lembut dan bahan pencuci yang sesuai.
Elakkan penggunaan span kasar atau bahan kimia yang boleh mencalarkan kaca.

5. Pastikan pengudaraan dapur cukup
Pastikan dapur mempunyai pengudaraan baik sama ada melalui tingkap, pengudaraan semula jadi atau alat penyedut asap (hood).
Ini penting untuk memastikan gas yang digunakan atau lebihan asap tidak terperangkap di dalam rumah.