Resipi nasi goreng pegaga buat ibu berpantang, bantu pulihkan tenaga selepas bersalin
IBU berpantang perlu menitikberatkan soal pemakanan, terutama pengambilan kalori dan nutrien yang mencukupi bagi membantu proses pemulihan tubuh.
Walaupun sedang berehat selepas bersalin, mereka tetap memerlukan tenaga untuk menyusukan bayi serta mengembalikan kekuatan dalaman.
Menurut pengguna TikTok @Norbahayadahalan, salah satu hidangan ringkas tetapi penuh khasiat yang sesuai untuk wanita berpantang ialah nasi goreng pegaga.

Pegaga terkenal dengan pelbagai manfaat kesihatan seperti membantu melancarkan peredaran darah, mempercepatkan penyembuhan luka serta mengecutkan peranakan.
Meskipun rasanya sedikit pahit dan sukar ditelan, pegaga sebenarnya kaya dengan serat, vitamin dan mineral yang penting untuk tubuh.
Jom Kuali kongsi resipi nasi goreng pegaga khas untuk ibu-ibu sedang berpantang:
Bahan-bahan
- 1 mangkuk nasi sejuk
- Segenggam daun pegaga (dihiris halus)
- 2 ulas bawang merah
- 2 ulas bawang putih
- ½ sudu teh lada hitam
- Sedikit ikan bilis
- Sedikit serbuk kunyit
- Garam dan sedikit minyak untuk menumis
Cara penyediaan
- Tumbuk bawang merah, bawang putih, lada hitam dan ikan bilis hingga lumat.
- Panaskan sedikit minyak dan tumis bahan tumbuk hingga garing serta naik bau.
- Masukkan nasi sejuk dan gaul rata.
- Tambahkan sedikit serbuk kunyit untuk memberi warna dan aroma.
- Akhir sekali, masukkan daun pegaga yang telah dihiris halus.
- Perasakan dengan garam secukupnya, gaul hingga sebati dan siap untuk dihidang.