Penangan kuih lopes! Baru hidu bau pandan, gula merah perut terus rasa lapar
KUIH lopes menjadi antara sajian tradisional Melayu yang cukup enak, digemari ramai sama ada oleh golongan dewasa atau kanak-kanak.
Pulut lembut berwarna hijau dengan haruman daun pandan, kemudian disalut pula kelapa parut sebelum disiram dengan air gula merah pekat merupakan satu kombinasi rasa yang cukup membangkit selera.
Menariknya, kuih lopes juga boleh disediakan sendiri di rumah dengan bahan yang mudah didapati.
Jom cuba resipi kuih lopes ini yang sesuai dinikmati sebagai sarapan atau minum petang bersama keluarga.

Bahan-bahan:
Kuih
- 3 cawan beras pulut
- 1 cawan santan cair
- 1/2 cawan air
- Pewarna makanan hijau/ air daun pandan
- Kelapa parut (putih sahaja)
- 1 helai daun pandan
- Garam
Air gula merah
- 3 cawan gula merah
- 2 sudu besar gula
- 1 cawan air
- 1 cawan air pandan
- 7 helai daun pandan
MENARIK DIBACA:Pikat selera si kecil sukar makan nasi, mak-mak boleh cuba buat mi bayam untuk anak
MENARIK DIBACA:Bosan dengan carbonara dan bolognese, kena cuba resipi spageti tomyam berkrim
Langkah penyediaan:
- Untuk air gula, masak gula merah dan gula putih sehingga larut dan pekat. Apabila mendidih, angkat dan sejukkan.
- Kisar daun pandan untuk dapatkan satu cawan air pandan.
- Cuci bersih beras pulut dan tuang ke dalam loyang. Masukkan santan cair, air, garam dan pewarna makanan.
- Gaul sebati beras pulut dan kukus selama 30 minit. (gaul beras pulut selepas 15 minit)
- Apabila pulut sejuk, cedok dan letakkan di atas daun pisang dan balut kemas. Sambung kukus semula selama 15 hingga 20 minit. Dah siap angkat dan biar sejuk.
- Sementara itu kukus kelapa parut putih dengan daun pandan dan sedikit garam.
- Potong kuih dengan pisau plastik supaya tidak melekat. Kemudian salut dengan kelapa parut yang telah dikukus.
- Tuangkan air gula merah di atas kuih yang telah dipotong apabila hendak dimakan.