Tip buat scone gebu, lembut dan berlemak... Awas, satu famili bakal ketagih!
RAMAI beranggapan bahawa membuat cheese scone adalah sesuatu yang sukar dan memerlukan kemahiran yang tinggi.
Hakikatnya, pastri yang rangup di luar tetapi lembut di dalam ini sebenarnya menggunakan bahan-bahan ringkas tetapi yang penting perlu memilih tepung yang tepat.
Pastri ‘mat salih’ ini memang enak dinikmati panas-panas dengan rasa lemak daripada keju dan mentega yang cukup menyelerakan.
Bagaimanapun golongan 'mak-mak' masih takut untuk cuba membuatnya sendiri kerana bimbang doh menjadi keras seperti batu.
Tak perlu lagi membazir duit membeli cheese scone di kafe, seorang wanita, Maisy Mikael berkongsi resipi mudah yang membuatkan ramai terliur melihat hasil air tangannya.

Bukan sahaja enak, malah teksturnya yang lembut dan rasa lemak berkrim membuatkan anak-anak serta suami ketagih untuk menikmatinya lagi.
"Sejak kenal tepung ni, saya memang buat sendiri je cheese scone sebab senang! Saya akan buat stock sebab anak asyik minta lagi!
"Compote kalau rajin saya buat sendiri kalau tak… jem je la. Husband dan anak rate 100000/10," kongsinya.
Jom Kuali tunjukkan cara-cara penyediaannya!
Bahan-bahan
- 500 gram tepung naik sendiri
- 150 gram keju diparut
- 150 gram mentega tanpa garam
- 280 gram susu segar
- 2 sudu besar gula kastor
- 1 sudu kecil serbuk penaik
- ½ sudu kecil garam
MENARIK DIBACA: 3 kebaikan makan yogurt 'homemade'... Ini cara mudah penyediaan, nikmati tanpa ragu
MENARIK DIBACA: Minuman kafe Amazon paling laris ikut 'ranking', ramai pelancong Malaysia 'repeat'
Cara penyediaan
- Satukan tepung naik sendiri, gula kastor, garam dan serbuk penaik di dalam satu bekas besar. Gaul rata.
- Masukkan mentega sejuk yang telah dipotong dadu. Gaul dan ramas menggunakan hujung jari sehingga campuran tepung menjadi berderai seakan-akan butir pasir.
- Masukkan parutan keju ke dalam adunan tepung dan gaul sebati.
- Tuangkan susu segar sedikit demi sedikit sambil menggaul adunan perlahan-lahan sehingga membentuk doh yang lembut.
- Gelek doh sehingga rata, kemudian lipat doh kepada dua bahagian untuk mendapatkan lapisan yang cantik bila dibakar nanti.
- Tekap doh menggunakan acuan scone (atau pemotong bulat).
- Sapukan sedikit susu atau telur pada permukaan scone supaya nampak berkilat dan keperangan selepas dibakar.
- Panaskan ketuhar dan bakar pada suhu 190°C selama 15 minit, siap.