Tak sangka sedap! Wanita cipta minuman smoothie kacang hijau, siap beri tip cepat empuk
KEBIASAANNYA kacang hijau akan dimasak bubur atau kuih, namun siapa sangka bahan tersebut juga boleh dijadikan minuman smoothie yang menyelerakan.
Seorang wanita dikenali sebagai Tmilah di laman Threads menarik perhatian ramai selepas berkongsi idea menghasilkan smoothie kacang hijau yang mudah disediakan.
Menurutnya, dia sendiri tidak pernah terfikir idea kacang hijau dijadikan minuman moden seperti smoothie kerana selama ini hanya menggunakannya untuk membuat bubur.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi positif daripada netizen yang mengakui teruja untuk mencuba resipi berkenaan.

Lebih menarik, wanita itu tidak lokek berkongsi tip bagi memastikan kacang hijau cepat empuk ketika direbus.
Jelasnya, kacang hijau perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum direndam di dalam air dan disimpan di dalam peti sejuk beku semalaman.
Kaedah ini membantu kacang hijau lebih cepat kembang dan lembut apabila direbus.
Berikut resipi dan cara penyediaan:
MENARIK DIBACA: Nampak senang, ramai mengaku kalah cuba diet tembikai ekstrem Zul Ariffin
MENARIK DIBACA: 'Defrost' ayam cara mudah guna garam... Lepas 30 minit dah boleh masak, isi lebih lembut
Bahan-bahan
- Kacang hijau secukupnya
- Susu cair, susu segar atau santan
- Susu pekat manis
- Ais batu
- Gula

Cara penyediaan
- Basuh kacang hijau sehingga bersih dan rendam di dalam air kemudian simpan dalam peti sejuk beku semalaman.
- Rebus kacang hijau beku bersama air dan gula batu sehingga empuk dan teksturnya lembut serta kembang.
- Ambil separuh daripada kacang hijau yang telah direbus dan masukkan ke dalam pengisar.
- Kemudian tambahkan susu atau santan bersama susu pekat manis mengikut cita rasa.
- Kisar sehingga menjadi pes.
- Untuk penyediaan minuman, masukkan ais batu ke dalam gelas dan tuangkan susu cair sehingga memenuhi kira-kira satu pertiga gelas.
- Masukkan beberapa sudu kacang hijau rebus yang tak dikisar.
- Akhir sekali, tuang pes kacang hijau di bahagian atas untuk menghasilkan minuman smoothie dengan tiga lapisan menarik.