Wanita bangga sambal ayam resipi ibu tiri dari Indonesia kini jadi kegemaran anak-anak
SETIAP orang pasti mempunyai hidangan yang mampu mengimbau kenangan zaman kanak-kanak.
Bagi seorang wanita, Annetheaayra , sambal ayam yang sering dimasak oleh ibu tirinya berasal dari Indonesia menjadi antara menu paling istimewa yang sentiasa dekat di hati.
Menerusi perkongsian di Threads, dia berkata hidangan tersebut dimasak hampir setiap minggu ketika dia masih bersekolah.
Sambal ayam tersebut sering dinikmati bersama bayam tumis air, menjadikan menu tersebut cukup menyelerakan sehingga makan bertambah.
Menurutnya, dia mendapatkan resipi tersebut daripada ibu tirinya sebelum mencuba memasak sendiri di rumah.
"Sejak itu lauk ini jadi antara menu kegemaran saya untuk dimasak. Ia tidak terlalu pedas kerana menggunakan lebih banyak cili merah besar," kongsinya.

Lebih manis, hidangan yang pernah menjadi kegemarannya sejak kecil kini dimasak pula untuk anak sendiri sekali gus membuatkan dia berasa bangga.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian warga maya yang tertarik dengan cara penyediaannya yang mudah serta penggunaan bahan-bahan asas ringkas.
MENARIK DIBACA: Jurufoto tersinggung ditegur tuan rumah lepas ambil sebiji semperit - "Kalau tak dijemput, jangan makan"
MENARIK DIBACA: Gemar makan, minum manis... Malaysia dalam senarai top 15 pengambilan gula tertinggi dunia
Bahan-bahan:
- 12 ketul ayam
- 10 biji cili merah besar
- 10 biji cili api merah
- 1 biji bawang besar
- 3 ulas bawang putih
- 1 biji tomato
Cara penyediaan
- Kisar semua bahan kecuali ayam sehingga halus atau mengikut tekstur yang diinginkan.
- Panaskan minyak secukupnya di dalam kuali.
- Masukkan bahan kisar dan tumis sehingga pecah minyak.
- Perasakan dengan garam dan gula mengikut cita rasa.
- Masukkan ayam yang telah digoreng.
- Gaul rata sehingga sambal menyelaputi ayam.
- Taburkan daun herba pilihan sebelum dihidangkan.