Jurufoto tersinggung ditegur tuan rumah lepas ambil sebiji semperit - "Kalau tak dijemput, jangan makan"
TIDAK semua momen yang di majlis perkahwinan indah belaka.
Nampak meriah di mata tetamu, sering kali berlaku isu-isu di belakang tabir semasa majlis berlangsung yang hanya diketahui pihak penganjur dan kru terlibat.
Di laman Threads seorang lelaki berkongsi pengalaman ketika menghadiri sebuah majlis di mana dia bertugas sebagai jurufoto.
Menerusi hantaran yang dibuat, dia menasihatkan jurugambar lain agar tidak mengambil makanan di majlis klien walaupun sedikit jika tidak dipelawa.
Dia memberikan nasihat dan peringatan ini kerana mempunyai pengalaman berhubung perkara ini tetapi sudah diselesaikan dengan tuan rumah.
"Photographer. Kalau tuan rumah tak jemput makan jangan makan walaupun hanya sebiji kuih semperit. Aku baru lepas kena tapi aku dah bayar balik. No worries," luahnya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen khususnya jurugambar yang mendakwa mereka juga pernah berdepan situasi hampir sama ketika bertugas.
"Aku pernah juga begini kat Banting sebab ambil sepotong tembikai. Majlis habis aku bayar RM50. Aku minta halalkan tembikai kemudian balik, outdoor pergi mampus. Rasa sakit hati tapi puas hati dalam pada masa yang sama," kata seorang pemuda.
Seorang lagi individu yang bekerja sebagai jurufoto pula berkongsi bahawa sepanjang mencari rezeki dia tidak pernah lagi berdepan isu seperti itu.
"Selama jadi jurufoto memang sentiasa kena paksa makan, sampaikan keluarga pengantin siap bungkuskan makanan lagi," katanya.
MENARIK DIBACA: Wajah lebih berseri, parut pudar dan rambut berkilat lepas amal minum kolagen sisik ikan
MENARIK DIBACA: Ramai sangka susu ibu lengkap nutrisi, doktor dedah rupanya rendah satu nutrien penting
Dalam pada itu, ada juga yang berkongsi keluhan apabila tuan rumah atau penganjur tidak menyediakan makanan untuk pasukan kerja majlis.
"Saya pernah dapat pelanggan yang tak nak bagi makan kat team event, emcee, P.A system, band dan coordinator.
"Dengan angkuh cakap, kenapa saya nak bagi team awak makan pula?

"Tak banyak cakap, saya sendiri masak lauk untuk 35 orang team saya dengan menu lauk kampung siap bungkus.
"Masa hari kejadian, tuan rumah tiba-tiba minta pack food saya. Saya pula cakap pack food ni untuk team yang saya masak sendiri sebab mereka manusia kena makan sebelum bekerja. Done!" seorang warganet berkongsi pengalamannya.
Ada juga yang berpendapat layanan yang diterima mencerminkan sikap tuan rumah.
"Tuan rumah jenis apa la yang tak bagi petugas-petugas makan?
"Perkara paling menyedihkan dan memalukan sebagai tuan rumah ialah bila ada yang tak dapat makan di majlis kenduri.
"Kalau kata ada tetamu tersilap majlis pun kita pastikan tetamu tu jamah makanan dulu sebelum beredar. Inikan pula petugas yang berkhidmat untuk menjayakan majlis," antara komen netizen.