KKM tunggu keputusan makmal sebelum periksa kilang Gardenia susulan aduan pengguna
KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menunggu keputusan analisis makmal dan akan menjalankan pemeriksaan di kilang Gardenia Bakeries di Kuala Lumpur.
Tindakan ini diambil bagi mengesahkan pematuhan terhadap Akta Makanan 1983 susulan aduan dakwaan keracunan makanan melibatkan produk syarikat itu.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, KKM memaklumkan siasatan awal sedang dijalankan susulan aduan tular di media sosial serta laporan media berhubung dakwaan keracunan makanan selepas pengambilan produk Gardenia, khususnya roti putih Gardenia Original Classic dan Twiggies Choc-A-Lot.

KKM berkata pihaknya meminta penjelasan daripada Gardenia Bakeries (KL).
"KKM mendapatkan penjelasan Gardenia Bakeries (KL). Menurut syarikat, siasatan dalamannya tidak menemukan sebarang penyimpangan proses pengeluaran, perubahan resipi atau ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan kawalan keselamatan makanan bagi produk terlibat.
"Proses pengesanan produk terlibat masih terbatas kerana maklumat kelompok pengilangan dan tarikh luput yang diterima tidak lengkap.
“Baki produk serta bungkusannya diambil dengan persetujuan pengadu untuk analisis makmal," menurut kenyataan berkenaan.
KKM memaklumkan dapatan syarikat tersebut adalah hasil siasatan dalaman dan belum boleh dijadikan asas kepada kesimpulan muktamad mengenai punca simptom yang dilaporkan.
MENARIK DIBACA: Kecoh deodoran haruman 'chicken nugget' di pasaran - "Ada orang akan bau ayam sepanjang hari"
MENARIK DIBACA: Banyak khasiat minum air rebusan daun kari, mampu rawat buasir dan cegah bau badan... Tambah halia lagi umphh!
Kementerian ini turut memberi jaminan bahawa tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil jika terdapat bukti pelanggaran undang-undang atau risiko terhadap keselamatan makanan.
Dalam pada itu, KKM menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan.
Individu yang mengalami simptom seperti muntah, cirit-birit atau ketidakselesaan selepas mengambil produk yang disyaki juga diminta segera mendapatkan rawatan perubatan dan melaporkannya kepada Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.
Selain itu, aduan berkaitan keselamatan makanan boleh disalurkan menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) di https://moh.spab.gov.my/ atau Facebook Program Keselamatan dan Kualiti Makanan.
Terdahulu seorang pengguna akaun Threads mendakwa mengalami keracunan makanan selepas mengambil dua produk syarikat itu.
