Biji asam jawa biasanya dibuang, rrupanya berpotensi rawat air tercemar
BIJI asam jawa yang selama ini sering dianggap sebagai sisa makanan rupa-rupanya mempunyai potensi dalam membantu menangani masalah pencemaran mikroplastik.
Satu kajian mendapati ekstrak biji asam jawa boleh digunakan sebagai bahan sampingan dalam proses rawatan air untuk menyingkirkan zarah mikroplastik.
Kajian bertajuk Potential Application of Tamarind Seed Extract as Coagulant Aid in Alum-Based Removal of Polyamide Microplastics itu mengkaji keberkesanan penggunaan ekstrak biji asam jawa bersama tawas (bahan mineral) dalam proses rawatan air.
Lebih menarik, hasil kajian menunjukkan gabungan kedua-dua bahan tersebut mampu menyingkirkan antara 95.1 hingga 98.76 peratus mikroplastik jenis poliamida (sejenis bahan gentian sintetik kimia) dalam sampel air yang diuji.
Keberkesanan ini dikaitkan dengan proses penggumpalan iaitu zarah mikroplastik yang terlalu kecil bergabung menjadi gumpalan lebih besar sebelum mendap dan dipisahkan daripada air.
Bahan semula jadi yang terkandung dalam biji asam jawa dipercayai membantu proses tersebut lalu meningkatkan kecekapan penyingkiran mikroplastik.
MENARIK DIBACA: CEO Nestle minum 8 cawan kopi sehari, 5 daripadanya sebelum jam 10 pagi
MENARIK DIBACA: Sinonim dengan sajian Melayu, Chef Amir Gani perjelas apa itu 'pecah minyak'
Penemuan ini menarik perhatian kerana ia menunjukkan bahan semula jadi yang mudah diperoleh berpotensi dimanfaatkan dalam teknologi rawatan air.
Selain mengurangkan kebergantungan kepada bahan kimia tertentu, penggunaan sisa pertanian seperti biji asam jawa juga membuka peluang kepada pendekatan yang lebih lestari dalam menangani pencemaran alam sekitar.

Terdapat satu perkara penting yang perlu difahami walaupun kajian ini menunjukkan kadar penyingkiran mikroplastik tinggi, ia tidak bermaksud biji asam jawa mampu membuang mikroplastik sehingga 90 peratus daripada tubuh manusia.
Ini kerana penyelidikan tersebut hanya melibatkan proses rawatan air dan bukannya ujian terhadap tubuh manusia.
Setakat ini, belum terdapat bukti klinikal kukuh yang membuktikan pengambilan biji asam jawa atau ekstraknya boleh membersihkan mikroplastik daripada darah, usus atau organ manusia.
Oleh itu, dakwaan bahawa biji asam jawa merupakan bahan semula jadi untuk menyahtoksik tubuh daripada mikroplastik perlu dilihat dengan berhati-hati.
