Tak selera makan bubur nasi kosong, tambah bahan-bahan ini 'auto' sedap 'terangkat'
BUBUR nasi bukan sahaja menjadi antara makanan yang mudah disediakan tetapi juga sering jadi pilihan jika seseorang itu sakit atau hilang selera.
Bagaimanapun, tanpa sebarang lauk atau bahan tambahan, sajian ini semestinya terasa sedikit hambar.
Tidak hairanlah ada yang suka memasukkan pelbagai bahan dalam bubur bubur sama ada bertujuan menjadikannya lebih pekat atau lebih membangit selera.
Ada yang menggunakan stok ayam dan ikan bilis untuk memberikan lebih rasa, malah ada juga menambah bahan seperti serai dan santan.
Menerusi satu perkongsian di Facebook, seorang wanita meminta petua daripada warganet untuk menghasilkan bubur nasi yang lebih sedap.
"Kalau masak bubur nasi, korang ada petua tersendiri tak nak bagi rasanya lebih sedap? Sedap, pekat dan berlemak?

"Ada yang suka masukkan stok ayam, ikan bilis, bawang putih atau hirisan halia. Ada juga yang mungkin ada bahan rahsia tersendiri.
"Jom kongsi cara masing-masing. Mana tahu ada tip menarik yang boleh kita cuba pula nanti!," tulisnya.
Di ruangan komen, netizen tidak lokek berkongsi petua masing-masing bagi menyedapkan hidangan itu.
MENARIK DIBACA: Shell Cafe hargai bakat barista, ‘Jingle zest’ rekaan AI Syamil bawa tuah
MENARIK DIBACA: UiTM, PKPS gilap bakat keusahawanan mahasiswa menerusi Dapur Ehsan
"Kita tiru macam kat kedai diaorang masukkan nasi kosong (bubur pekat), sup asing. Tambah lauk apa yang suka dan mesti ada isi ayam, bilis goreng, sambal bilis. Kalau ada udang kecil goreng lagi sedap. Tambah cili kicap.
"Bubur nasi ayam kena ada daun bawang, halia, bawang goreng dan minyak bijan. Hirisan ayam lagi best daripada ayam ketul-ketul dalam bubur. Tambah pula chili oil.

"Saya letak serai. Pelik kan tapi saya suka rasanya. Lagi-lagi kalau guna ayam segar yang kulitnya kuning," antara komen netizen.
Selain itu, ada juga berkongsi kaedah menyediakan bubur dengan merebus beras bersama rangka kaki ayam dan sup bunjut sehingga beras kembang dan pecah.
"Saya biasa buat bubur tulang ayam, rebus beras dengan rangka kaki ayam serta sup bunjut.
"Biarkan beras pecah baru sedap. Masukkan lobak merah dan kentang yang dipotong dadu kemudian tambah perasa, garam dan Ajinomoto.
"Akhir sekali, taburkan daun sup dan bawang goreng. Bubur orang dulu-dulu masak tak perlu letak stok ikan bilis atau stok ayam. Dulu mana ada semua tu," kongsi seorang warganet lagi.
