Buat karbonara cara orang Itali! Tak guna krim masakan, itik salai beri aroma 'smoky'
TAHUKAH anda, resipi karbonara autentik Itali tidak menggunakan krim masakan seperti yang biasa kita lihat dalam hidangan pasta di Malaysia.
Sebaliknya, sos yang berlemak dan berkrim terhasil daripada gabungan kuning telur, keju Parmesan dan sedikit air rebusan pasta.
Menerusi resipi perkongsian Chef Amir Ghani, karbonara ini diolah menggunakan itik salai atau smoked duck sebagai pengganti guanciale, iaitu bahagian pipi khinzir yang diawet dan digunakan dalam resipi karbonara tradisional.
Penggunaan itik salai bukan sahaja memberikan aroma salai menyelerakan, malah sesuai untuk mereka yang ingin menikmati hidangan berinspirasikan karbonara Itali menggunakan bahan halal.
Bagi yang ingin mencuba, jom cuba resipi smoked duck carbonara ini di rumah.

Bahan-bahan
- 220g pasta direbus
- 150g itik salai dihiris nipis
- 2 biji kuning telur
- 100g keju Parmesan diparut halus
- Air rebusan pasta secukupnya
- Lada hitam secukupnya
- Sedikit garam
MENARIK DIBACA: Anak bosan bekal menu sama? Buat roti keju carbonara, 'confirm' licin bekas
MENARIK DIBACA: Cuma spageti kuah susu, sedih tengok rupa carbonara 'kids meal'! Harga boleh tahan mahal
Cara penyediaan
- Rebus pasta sehingga al dente atau masak tetapi masih sedikit kenyal. Simpan sedikit air rebusan sebelum pasta ditos.
- Pan-sear itik salai dalam kuali sehingga sedikit garing dan mengeluarkan aroma salai. Angkat dan ketepikan.
- Dalam mangkuk, pukul perlahan kuning telur sebelum dicampurkan dengan keju Parmesan yang telah diparut halus.
- Masukkan pasta yang telah direbus ke dalam kuali atau periuk besar bersama sedikit air rebusan pasta.
- Tutup api sepenuhnya sebelum masukkan bancuhan telur dan keju. Langkah ini penting untuk menghasilkan sos yang licin dan berkrim tanpa menyebabkan telur menjadi berketul seperti telur hancur.
- Gaul pasta dengan pantas sehingga bancuhan telur dan keju menyelaputi pasta. Tambahkan air rebusan pasta sedikit demi sedikit sehingga mendapat kepekatan sos yang diinginkan.
- Masukkan itik salai dan gaul sebati. Perasakan dengan lada hitam serta sedikit garam jika perlu.
- Hidangkan segera sementara pasta masih panas dan sosnya berkrim.
